Home » Citra Yadim » Peraduan Video Pendek Celik Muamalah 2016

Peraduan Video Pendek Celik Muamalah 2016

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mempelawa para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)  seluruh negara untuk menyertai Peraduan Video Pendek Celik Muamalah 2016, yang merupakan satu inisiatif badan ini untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai muamalah Islam.

Pengurus Eksekutif Bahagaian Muamalah Yadim, Zamzarizal Mad Ariffin berkata, peraduan itu diadakan dengan kerjasama Malaysian Takaful Association (MTA) dan tajuk-tajuk video yang dihasilkan perlu berkisar mengenai takaful.

“Peraduan ini diadakan buat pertama kalinya oleh Yadim dengan kerjasama MTA dan untuk kali ini kami menfokuskan kepada bidang takaful dan untuk tujuan itu sebanyak  lima tajuk disediakan.

“Tajuk-tajuk itu ialah  `Keperluan Takaful Dari Perspektif Syarak dan Ekonomi Islam’, `Konsep Tabaru’ Dalam Takaful dan Perbezaan Dengan Insurans’,` Peranan Takaful Dalam Mengurus Tadbir Risiko’, `Mengenali Takaful dan Kepentingannya’ serta `Menyanggahi Salah Faham Masyarakat Tentang Takaful,’’ katanya.

Beliau berkata, peraduan ini dibuka kepada mahasiswa IPT dan amat mudah dilakukan kerana para pelajar berkenaan hanya perlu menghasilkan video pendek berdurasi lima minit dengan menyentuh tajuk-tajuk yang disediakan.

Katanya, dengan konsep berkenaan, mana-mana pelajar boleh menghasilkan video berkenaan menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan cara yang kreatif dan berkesan dalam menyampaikan mesej berkenaan.

“Pertandingan ini dicetuskan berdasarkan kesedaran bahawa masih ramai golongan muda yang tidak memahami dengan baik prinsip takaful.

“Namun,  kami percaya ramai di kalangan mereka mempunyai idea yang kreatif bagi menghasilkan sesebuah video pendek dan ringkas tetapi padat untuk menerangkan kepada khalayak ramai terutama di kalangan pelajar-pelajar mengenai prinsip takaful,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi setiap penyertaan, para pelajar boleh menghasilkan video secara individu atau berkumpulan dengan tidak melebih lima orang dan boleh dihasilkan dalam pelbagai bahasa tetapi perlu meletakkan sari kata Bahasa Melayu.

Menurutnya, setiap penyertaan perlu sampai kepada pihak penganjur sebelum 10 September 2016 dan pemenang peraduan ini akan menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan diikuti RM2,000 dan RM1,000 bagi pemenang kedua dan ketiga.

Katanya, untuk syarat dan borang penyertaan boleh diakses melalui laman web Yadim (www.yadim.com.my) atau laman sosial facebook Muamalah Yadim #celiktakaful2016 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh berhubung melalui talian berikut 03-40437826, 03-40437812, 012-2694986 (Zam Zarizal) dan 013-2127527 (Muzzamil).

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *