Home » Langit Terbuka » Perak muncul negeri pertama wujudkan Mahkamah Utama Syariah

Perak muncul negeri pertama wujudkan Mahkamah Utama Syariah

Dengan wujudnya satu lagi lapisan mahkamah selepas Mahkamah Rayuan Syariah, pihak yang bertikai memperoleh dua kali peluang merayu dalam memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan baik. - Foto NSTP

IPOH – Perak muncul negeri pertama mewujudkan Mahkamah Utama Syariah (MUS) yang memberi peluang kedua kepada pihak bertikai untuk mengemukakan rayuan.

Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor, berkata sebelum ini kes bermula pada peringkat Mahkamah Tinggi Syariah seperti tuntutan harta sepencarian dan hadanah (hak jagaan anak), hanya ada sekali hak merayu, iaitu di Mahkamah Rayuan Syariah (MRS), sedangkan kebanyakan kes berkenaan adalah berat serta nilai tuntutannya lebih tinggi.

“Dengan wujudnya satu lagi lapisan mahkamah selepas MRS, pihak yang bertikai memperoleh dua kali peluang merayu dalam memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Ab Rahman Thobroni berkata, sejarah tercipta dalam sistem perundangan syariah negara apabila MUS Perak bersidang untuk kali pertama, semalam, selepas penubuhannya diumumkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, 5 Disember 2018.

Sidang pertama itu dibarisi tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid, membabitkan mantan Presiden Mahkamah Rayuan Persekutuan, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin, dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Katanya, sidang semalam adalah untuk mendengar permohonan kebenaran merayu membabitkan kes harta sepencarian.

Setakat ini, beliau berkata, Perak adalah satu-satunya negeri memiliki empat lapisan mahkamah dalam sistem kehakiman syariah apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, memberi perkenan pewujudan satu lagi lapisan mahkamah rayuan. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *