Kitab Ayyuhal Walad-Wahai Anakku Yang Tercinta- siri bimbingan remaja Islam (1), karya Imam Ghazali dan diusahakan terjemahannya oleh Abu Ali Al-Banjari An Nadwi diterbitkan 1417 Hijrah/ 1996 Masihi. Kitab kecil ini memuatkan 25 nasihat mantap dan jitu tentang matlamat hidup yang seringkali dipesongkan oleh objektif kehidupan yang palsu lagi mengelirukan. Beberapa nasihat Imam Al Ghazali ini mengingatkan kita tentang penipuan dunia dan keabadian alam akhirat.
Nasihat kelima dalam kitab ini berbunyi: “Berapa banyakkah daripada malam-malam yang telah
engkau penuhkan dengan berjaga untuk mengulangkaji dan mentelaah kitab, dan berapa lama engkau telah menahan tidur ke atas dirimu… Saya tidak pasti apakah niat yang mendorong engkau berbuat demikian, apakah hanya semata-mata mencari keuntungan dunia, menghimpunkan
segala harta bendanya dan mencapai kedudukan yang tinggi serta berbangga dengan kebolehanmu
di hadapan kawan-kawan…engkau akan rugi serugi-ruginya..jika niatmu untuk menghidupkan syariat Nabi Muhammad SAW, dan memperbaiki akhlakmu, serta memecahkan keinginan nafsumu… beruntunglah engkau seribu kali untung..” (hlm 2)
Matlamat hidup yang sebenar ialah beribadat kepada Allah SWT dan menjadi hamba Allah yang
taat juga reda. Tidakkah Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zariyaat ayat 56: … Dan “Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah akan Daku. ”
Inilah yang sewajarnya menjadi matlamat hidup kita manusia iaitu menyembah Allah. Apabila terjaga pada waktu malam, ingatan harus kepada-Nya; apabila berseorangan, fikiran wajar kepada-Nya; apabila dikelilingi kawan-kawan, fokus hati tertumpu kepada-Nya. Seharusnya tidak wujud satu saat pun yang kita lupa kepada-Nya. Subhanallah.
Alangkah cantiknya matlamat hidup jika objektif merangkul kejayaan (kerjaya dan akhlak) itu
dilakukan kerana Allah dan hanya Allah semata-mata. Bahawa dengan kejayaan itu kita dapat berbakti kepada Allah SWT dengan membantu mereka yang memerlukan, dengan mewakafkan harta dan wang ringgit untuk mengukuhkan syariat lslam: memberi makan orang miskin, menyantuni anak yatim, menghulur bantuan kepada mereka yang terputus perbelanjaan perjalanan, memberi pertolongan kepada mereka yang ditimpa musibah.
Mari kita perbetulkan tujuan dan matlamat hidup masing-masing supaya mendapat keredaan Allah
di dunia dan juga di akhirat. Nasihat Imam Al-Ghazali ini wajar diambil peduli. Pintu taubat masih terbuka dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. – petikan MAJALAH DAKWAH



KOMEN