Home » Langit Terbuka » Perbezaan hukum fiqh bukanlah sebab perpecahan – Raja Muda Perlis

Perbezaan hukum fiqh bukanlah sebab perpecahan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.  Foto : https://www.mynewshub.cc

KANGAR 7 Jan. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mengingatkan bahawa perbezaan dalam sesuatu hukum fiqh bukanlah penyebab untuk umat Islam berpecah.

Dalam hal ini, baginda bertitah, maka sebab itu, umat Islam harus berhati-hati dengan memastikan perbezaan tersebut perlulah berlandaskan kepada al-Quran dan sunnah sebagai asasnya.

“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Jabatan Mufti negeri telah menetapkan silibus fiqh yang berpaksikan dalil dan mengharmoni pendapat pelbagai mazhab,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli mengadakan kunjungan ke dua buah maahad tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Kampung Mengkuang Layar, Behor Mali di sini, kelmarin.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Pengarah JAIPs, Dr. Hazman Hassan.

Hadir sama Ketua Polis negeri yang juga ahli majlis MAIPs, Datuk Azisman Alias.

Bersempena kunjungan tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyerahkan buku Kitab Fiqh Sunnah kepada kedua-dua Maahad Tahfiz al-Quran Nurul Saadah (Perempuan) dan Maahad Tahfiz al-Quran Ar-Raudhah (Lelaki) untuk diajarkan sebagai salah satu silibus dan sumber rujukan di kedua-dua pusat pengajian berkenaan.

Buku Fiqh Sunnah tersebut merupakan salah satu silibus pengajaran takmir dan kelas MAIPs di seluruh masjid dan surau seluruh negeri ini.

Baginda seterusnya bertitah, menyarankan agar seluruh maahad tahfiz di negeri ini dapat menjadikan buku Fiqh Sunnah itu sebagai bahan pengajaran kerana pendekatan pemahaman fiqh secara terbuka dengan berpandukan kepada dalil yang merupakan asas kepada pegangan ahlus sunnah wal jamaah.

Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Saadah (Perempuan) yang kini mempunyai 50 orang penuntut turut termasuk 15 orang yang berasal dari negara jiran, Thailand. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *