Home » Citra Yadim » Percanggahan politik dan agama cetuskan ketegangan masyarakat

Percanggahan politik dan agama cetuskan ketegangan masyarakat

Cabaran umat Islam timbul apabila berlaku sensitiviti yang tinggi terhadap percanggahan politik dan agama yang boleh mencetuskan ketegangan masyarakat dalam negara ini, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Dr Yusri Mohamad.

Beliau berkata, antara cabaran berkaitan perpaduan dalam masyarakat adalah perbezaan sentimen, kesan daripada pertembungan konflik yang timbul dalam pelbagai gelanggang.

“Antara gelanggang utama timbulkan sensitiviti yang tinggi ialah gelanggang politik.

“Apatah lagi kalau bergabung antara politik yang ada sifat agama lebih berpotensi berlaku ketegangan dalam isu agama yang berbangkit.

“Jika tidak ditangani sebaik mungkin boleh mencetuskan ketegangan sesama parti, organisasi dan individu terbabit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di perasmian Perhimpunan Agamawan Kebangsaan dengan tema ‘Agamawan Pemangkin Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara’ di Hotel Bangi-Putrajaya di Bandar Baru Bangi pagi ini.

Justeru katanya kelompok ulama dan agamawan berperanan untuk membimbing sebahagian ahli-ahli politik dan masyarakat yang bertindak mengeluarkan fatwa dan pandangan peribadi berbanding dikalangan ulama dan agamawan sendiri.

“Kitalah yang perlu lebih agresif untuk mencorakkan persepsi masyarakat dalam hal-hal sebegini.

“Persaingan politik kepartian dalam negara, sukar ditangani dalam gelanggang politik kepartian untuk elak konflik daripada berlaku.

“Ibarat gelanggang boxing (tinju), jika dah namanya boxing bila masuk gelanggang maka adat permainan tumbuk menumbuk.

“Siapa menumbuk kuat dialah lebih hebat, kalau dapat tumbangkan lawan lagi hebat…itu adat gelanggang boxing.

“Kalau pun lawan buat sesuatu yang betul jika lurus sangat memuji sahaja dan tidak menumbuk tidaklah cemerlang dalam gelanggang.

“Mungkin betul dalam gelanggang politik ada persamaan seperti mana dalam gelanggang boxing itu,” ujarnya memberikan gambaran tentang persengketaan antara pemimpin politik.

Ujarnya lagi sedangkan gelanggang itu bukan gelanggang sempurna yang seharusnya dua pihak itu menganggap ia sebagai sesuatu yang diberikan mandat berbuat demikian.

“Ada kekurangan dan kelemahan yang harus kita sedari. Jika orang main boxing ada peraturan tidak boleh tumbuk rendah sangat, ada masa, ada pengadilnya.

“Apa yang kita bimbang kita jadi lebih teruk dari pemain  boxing jika di pentas  boxing bunyi loceng baru mula…bunyi loceng sekali lagi berhenti…sebaliknya gelanggang ahli politik tidak  berlaku sedemikian.

“Dalam menangani perbezaan politik dan agama dalam gelanggang politik, peranan agamawan amat penting agar pemainnya tidak terlalu liar,” ujarnya.

Justeru katanya betapa pentingnya golongan ulama dan agamawan murnikan feqah kefahaman dan adab jika berlalu perbezaan pandangan.

“Golongan agamawan yang harus memimpin masyarakat dalam pelbagai peringkat dalam hal ini.

“Kalau masyarakat dapat dinasihatkan oleh kita untuk berlapang dada dalam perkara yang masih dipersoalkan, belum dimuktamadkan persengketaan umat Islam ini dapat dielakkan,” ujarnya.

Perhimpunan Agamawan Kebangsaan anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) merupakan kesinambungan daripada Multaqa yang diadakan pada Mei lalu yang menghimpunkan golongan intelektual dan pemikir Islam bagi merumus dan mencari jalan pencerahan menyatupadukan ummah di negara ini.

Resolusi dalam multaqa itu juga telah menggesa supaya umat Islam di negara ini sama ada dalam parti politik, NGO Islam, media massa, tokoh politik dan masyarakat untuk bergandung tangan dan bekerjasama atas nama Islam.

Sekaligus dapat menyisihkan perbalahan dan pertentangan yang selama ini menjadi batu penghalang kepada usaha perpaduan.

Perhimpunan Agamawan Kebangsaan yang diadakan sehari ini, turut dianjurkan bersama antara Yadim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan.

SUMBER: Malaysia Update

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *