Home » Citra Yadim » Perhimpunan ilmuwan kebangsaan 2016 perjuang perpaduan ummah

Perhimpunan ilmuwan kebangsaan 2016 perjuang perpaduan ummah

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Perhimpunan Ilmuwan Kebangsaan 2016 dianjurkan Majlis Dakwah Negara (MDN) di sini hari ini, membincangkan peranan tokoh Islam dalam aspek perpaduan ummah dan pembangunan negara.

Program itu mendapatkan cadangan berkaitan keperluan, peranan dan sumbangan yang wajar oleh ilmuan Islam dalam memperkukuhkan perpaduan ummah seterusnya meneruskan kesinambungan pembangunan negara.

Pengerusi MDN, Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid, berkata multaqa itu menjadi wadah memperjuangkan konsep perpaduan, sekali gus mengurangkan jurang di antara parti politik, masyarakat serta generasi lama dan baharu.

“Perhimpunan ini untuk memberi alternatif kepada masyarakat memainkan peranan yang lebih aktif dan segera dalam menyelesaikan isu berkaitan Islam, politik atau kemasyarakatan.

“Multaqa hanya akan memberi pandangan mengenai kaedah terbaik memperkukuhkan perpaduan demi kelangsungan umat Islam, bukan mencari salah siapa atau menuding jari kepada mana-mana pihak,” katanya.

Menerusi multaqa berkenaan juga, katanya, akan ditubuhkan Dewan Ilmuwan yang dianggotai tokoh dari pelbagai bidang dan latar belakang bagi mengurus serta menyelesaikan masalah berkaitan keagamaan untuk mengelakkan kekeliruan.

“Dewan itu juga menjadi rujukan alternatif masyarakat. Kita bukan mahu mengambil alih tugas Majlis Fatwa, sekadar memberi pandangan kedua dan ketiga dalam hal berkaitan serta tidak terikat dengan mana-mana birokrasi,” katanya.

Antara tokoh yang hadir, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman; Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof; Felo Utama Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Prof Dr Mohd Ridhuan Tee dan Timbalan Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz.

Multaqa dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), PUM, Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan.

https://www.bharian.com.my/node/196985

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *