Home » Langit Terbuka » Persepsi negatif mengenai Islam meningkat di Perancis, Jerman

Persepsi negatif mengenai Islam meningkat di Perancis, Jerman

PUTRAJAYA 6 Feb. – Tinjauan pendapat yang dilaksanakan di Perancis dan Jerman pada tahun lalu menunjukkan persepsi negatif orang ramai terhadap Islam semakin meningkat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Compass, Jean Christophe Bas berkata, sebanyak 47 peratus penduduk di Perancis dan 43 peratus di Jerman beranggapan bahawa agama Islam merupakan satu bentuk ancaman.

Malah, katanya, lebih 68 peratus tinjauan pendapat yang diadakan di kedua-dua negara itu menyebut bahawa penduduk Islam enggan berintegrasi dengan penduduk setempat sehingga wu­jud persepsi negatif itu.

“Jumlah ini merupakan pertambahan sebanyak lima peratus berbanding 2010, ini menunjukkan bahawa persepsi negatif terhadap Islam semakin meningkat.

“Di Perancis terutamanya, kebimbangan paling besar mereka ialah mengenai keganasan bukan Islamophobia, namun tindakan kumpulan pengganas menggunakan nama Islam sebagai simbol perjuangan mereka telah menyebabkan imej negatif itu terpalit kepada ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Peningkatan Pengaruh Islamophobia dan Konflik Identiti di Eropah’ anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di Hotel The Everly di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa.

Sehubungan itu, Christophe Bas menggesa pemimpin Islam mengutuk tindakan kumpulan pengganas yang berselindung di sebalik nama agama Islam.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Christophe Bas berkata, langkah tersebut bukan cara terbaik bagi mewujudkan keamanan teruta­manya melibatkan penduduk Islam dan bukan Islam di AS.

“Semua pihak seharusnya bertenang pada masa sekarang dan pada masa sama peranan sistem masyarakat pelbagai bangsa perlu dikukuhkan bagi menge­lakkan sebarang salah faham berlaku,” katanya.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *