Home » Langit Terbuka » Pertama kali tak digari

Pertama kali tak digari

Buat pertama kalinya sempena kedatangan Mufti Wilayah Persekutuan, banduan terpilih ‘bebas’ apabila dibenarkan berjalan tanpa digari tangan sesama mereka. - Foto Ihsan Harian Metro

SUNGAI BULOH – Selepas sekian lama tidak menjamah hidangan lazat, nasi Arab berlauk gulai kambing dan ayam masak merah menjadi menu istimewa 32 banduan akhir serta enam tahanan Sosma dan enam tahanan reman di Penjara Sungai Buloh untuk berbuka puasa.

Mereka dijamu dalam Majlis Iftar Sahabat Tirai Besi Bersama Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di penjara itu, semalam (31 Mei).

Dalam majlis itu, riak ceria dapat dilihat di wajah 44 banduan berkenaan yang mendapat layanan istimewa Dr Zulkifli sendiri.

Malah, ketika azan berkumandang menandakan masuknya waktu Maghrib, ada banduan kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Ini kerana buat pertama kalinya sempena kedatangan Mufti Wilayah Persekutuan itu, mereka ‘bebas’ apabila dibenarkan berjalan tanpa digari tangan sesama mereka.

Buat pertama kali juga, mereka diberi makanan secara berhidang bersama rombongan mufti termasuk mengerjakan solat Maghrib, Isyak serta Tarawih secara berjemaah.

Dr Zulkifli berkata, majlis berkenaan diadakan di tiga lokasi serentak di Penjara Sungai Buloh serta di Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang.

Katanya, iftar itu adalah sebahagian usaha dakwah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selaras syariat Islam tiada diskriminasi dan banduan juga berhak disantuni.

“Saya sangat berharap penjara menjadi tempat mereka mengubah kehidupan menjadi manusia yang lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Hadir sama Pengarah Penjara Selangor Abd Kadir Rais dan Pengarah Penjara Sungai Buloh Rosoman Abu Bakar @ Che Din.

Malah, menerusi perkongsian di akaun Instagram drzulkifli.albakri, beliau menulis rasa terharunya.
“Melihat ada yang menyeka air mata saat menyuap Nasi Arab yang dihidangkan dan dilayan seperti tetamu kehormat, amat memilukan.

“Tidak ada bezanya kita dan mereka. Setiap manusia ada sejarah silamnya. Mungkin sahaja amal mereka lebih banyak berbanding kita. Hanya Allah Maha Mengetahui.”

Sementara itu, Rosoman berkata, 44 banduan berkenaan memang tidak mengetahui akan menerima layanan istimewa daripada rombongan diketuai Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, disebabkan itu banduan berkenaan cukup terharu apabila diraikan bersama tanpa terasa seperti diasingkan.

“Lazimnya, banduan akhir itu akan dipakai gari di tangan sesama mereka sebaik sahaja keluar dari sel tahanan masing-masing.

“Namun, istimewa untuk majlis dihadiri Dr Zulkifli, kami mengambil keputusan tidak memakaikan gari pada tangan mereka (banduan) sebaliknya mengetatkan kawalan,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *