Home » Persuasif » Piagam Madinah pelopor hak asasi manusia

Piagam Madinah pelopor hak asasi manusia

Oleh AZRIL MOHD AMIN

Kita sering mendengar kisah semasa peperangan Siffin mengenai khalifah Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Talib RA yang telah keciciran baju perisainya. Apabila pulang dari peperangan tersebut ke Kufah, didapati bahawa baju besinya itu berada di tangan seorang Yahudi yang cuba menjualnya.

Maka berkata Saidina Ali kepada Yahudi tersebut: “Wahai orang Yahudi. ini baju perisai saya, tidak pernah saya menjualkan atau menghadiahkannya.” Berkata Yahudi itu: ‘Ini baju perisaiku dan ia berada di tanganku.’ Berkata Saidina Ali: ‘Kita bawa perkara ini kepada hakim.”

Maka perkara ini dibawa kepada Hakim Syuraih (Hakim zaman Saidina Ali di Kufah). Saidina Ali duduk bersebelahan dengan hakim manakala orang Yahudi tersebut duduk di hadapan hakim tersebut. Berkata Syuraih: “Katakanlah Wahai Amirul Mukminin.”

Berkata Saidina Ali: “Ya , Puteraku Hasan dan Husin tahu betul bahawa baju besi yang ada di tangan Yahudi ini adalah baju besiku dan tidak pernah aku menjual atau menghadiahkannya kepada sesiapa.”

Lantas Syuraih berkata: “Kesaksian anak tidak diterima pakai bagi bapanya.”

Saidina Ali berkata: “Lelaki daripada ahli syurga tidak boleh dijadikan saksi? Aku pernah mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Bahawa Hasan dan Husin adalah ketua kepada para pemuda syurga.”

Maka si Yahudi itu berkata: “Amirul Mukminin telah membawa saya berjumpa dengan tuan hakim, dan hakim tersebut memutuskannya. Maka sesungguhnya ini adalah kebenaran. Aku naik saksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Dan Sesungguhnya baju besi ini memang baju besimu Saidina Ali. Pada ketika itu, saya sedang menaiki unta dan kamu sedang menuju ke Siffin, maka baju besimu terjatuh maka saya ambil baju besi tersebut.”

Berkata Yahudi itu lagi: “Saya katakan lagi ianya milik kamu.” (Kisah ini dinyatakan pada m/s 226 Sirah Amirul Mukminin, Dr.Ali As-Sallabi).

Kisah di atas memberikan iktibar salah satu contoh pendekatan Islam terhadap warga masyarakat di dalam memenuhi hak asasi manusia dan keadilan, dalam konteks ini, melalui kebebasan kehakiman. Konsep ini mempunyai kaitan asasnya di dalam Surah al-Maidah ayat lapan yang bermaksud:

 “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”

Piagam Madinah pelopor hak asasi manusia

Pada hakikatnya, istilah hak asasi manusia yang begitu popular di kalangan masyarakat ternyata sudah wujud sejak ratusan tahun yang lampau di dunia Islam. Rasulullah SAW telah meninggalkan untuk kaum muslimin rujukan hak asasi manusia di dalam bentuk kesepakatan yang dikenali dengan nama Piagam Madinah (sekitar tahun 622 M) yang sebenarnya menjadi pelopor bagi perkembangan konsep hak asasi sejagat.

Piagam Madinah ini secara lengkap diriwayatkan oleh Ibnu Ishaq (meninggal dunia 151H) dan Ibnu Hisyam (meninggal dunia 213H), dua tokoh penulis yang merupakan nama besar dalam bidang masing-masing. Menurut penelitian Ahmad Ibrahim al-Syarif, tidak ada periwayat lain sebelumnya selain kedua-dua penulis ini yang meriwayatkan dan menuliskannya secara sistematik dan lengkap. Kesahihan Piagam Madinah ini diakui pula oleh William Montgomery Watt, yang menyatakan bahawa dokumen piagam tersebut yang secara umum diakui kesahihannnya tidak mungkin dipalsukan.

Melalui periwayatan Ibnu Ishaq dan Ibnu Hisyam inilah kemudian ramai sarjana berikutnya menukil dan menulis komentar mengenainya. Di antara penulis-penulis klasik yang mengungkap Piagam Madinah secara komprehensif termasuklah Abu Ubaid Qasim Ibnu Salam dalam Kitab Al-Amwal, Umar al-Maushili dalam Wasilah al-Muta’abbidin dan Ibnu Sayyid dalam Sirah al-Nas. Sementara itu, beberapa sarjana dan periwayat lainnya yang menulis tentang Piagam Madinah ialah Imam Ahmad Ibnu Hanbal (meninggal dunia 241 H) dalam Al-Musnad, Darimi (meninggal dunia 255 H) dalam Al-Sunan, Imam Bukhari (meninggal dunia 256 H) di dalam Sahihnya, Imam Muslim (meninggal dunia 261 H) dalam Sahihnya. Tulisan-tulisan lain tentang piagam tersebut juga boleh ditemukan di dalam Sunan Abu Dawud (meninggal dunia 272 H), Sunan Ibnu Majah (meninggal dunia 273 H), Sunan Tirmidzi (meninggal dunia 279 H), Sunan Nasa’i (meninggal dunia 303 H), serta dalam Tarikh al-Umam wa al-Muluk oleh al-Thabari.

Piagam Madinah ini telah diterjemahkan pula ke dalam pelbagai bahasa asing. Terjemahan dalam bahasa Perancis dilakukan pada tahun 1935 oleh Muhammad Hamidullah, manakala terdapat beberapa versi terjemahan Bahasa Inggeris seperti yang pernah dimuatkan di dalam Islamic Culture No.IX Hederabat 1937, Islamic Review terbitan Ogos-November 1941 (dengan tajuk “The First Written Constitution of The World”).

Selain itu, Majid Khadduri juga menterjemahkannya dan memuatkannya di dalam karyanya War and Peace in the Law of Islam (1955), kemudian diikuti oleh R. Levy di dalam karyanya The Social Structure of Islam (1957) serta William Montgomery Watt di dalam karyanya Islamic Political Thought (1968). Terjemahan-terjemahan lain di dalam bahasa Jerman dilakukan oleh Wellhausen, bahasa Itali dilakukan oleh Leone Caetani, dan bahasa Belanda oleh A.J. Wensick.

Kajian-kajian ilmiah serta pelbagai komentar yang dibuat oleh ramai sarjana dan penulis menjadi bukti betapa Piagam Madinah ini menjadi dokumen penting serta rujukan sejarah yang dominan bagi mereka yang mencari asas pembentukan hak asasi manusia. Sifat Piagam Madinah itu sendiri juga menjadi tarikan kepada para sarjana dan ilmuwan untuk menerokai idea pentadbiran ketamadunan yang serasi dengan fitrah kemanusiaan.

Ada pelbagai komentar mengenai isi Piagam Madinah, hatta daripada para sarjana Barat sendiri. Diantaranya dikemukakan oleh A. Guillaume, seorang professor bahasa Arab dan penulis  buku The Life of Muhammad yang menyatakan bahawa Piagam yang telah dibuat Nabi Muhammad SAW itu adalah suatu ‘dokumen yang menekankan hidup bersama di antara orang-orang muhajirin di satu pihak dan orang-orang yahudi di pihak lain. Masing-masing saling menghargai agama mereka, saling melindungi hak milik mereka dan masing-masing mempunyai kewajiban yang sama dalam mempertahankan Madinah’.

Robert N. Bella pula menulis di dalam bukunya Beyond Belief (1976) bahawa Nabi Muhammad SAW sebenarnya telah membuat jangkauan yang amat jauh ke hadapan. Dimulai dengan permulaan berdirinya negara Madinah berasaskan “Perlembagaan Madinah” ini, menurut Bella, “Muhammad telah melahirkan sesuatu yang untuk zaman dan tempatnya adalah sangat moden.”

Manakala Jimly Assiddiqie, yang pernah menjadi Ketua Mahkamah Perlembagaan Republik Indonesia, mengatakan kepada wartawan pada 30 November 2007 di Jakarta: “Piagam Madinah merupakan kontrak sosial bertulis pertama di dunia yang dapat disamakan dengan Perlembagaan moden sebagai hasil dari amalan nilai-nilai demokrasi. Dan hal itu telah ada pada abad ke-6 saat Eropah masih berada di dalam abad kegelapan.”

Sesungguhnya banyak ulasan dan komentar lain yang dikemukakan oleh para sarjana kontemporari tentang Piagam Madinah. Mereka menggunakan pelbagai retorik dan kupasan yang berbeza, namun pada dasarnya bernada serupa, iaitu berteraskan hujah bahawa piagam tersebut telah menyatukan warga Madinah yang bersifat majmuk, selain warganya mempunyai hak dan kewajipan yang sama, saling menghormati walaupun berbeza suku dan agamanya. Piagam tersebut dianggap merupakan suatu pandangan jauh ke hadapan dan kebijaksanaan politik luar biasa Nabi Muhammad SAW di dalam menjangkakan masyarakat yang beraneka ragam.

Hanya setelah 600 tahun Piagam Madinah dibentuk barulah muncul konsep hak asasi manusia di benua Eropah. Konsep ini dikenal dengan nama Magna Carta (1215M). Kemudian wujud Bill of Rights di Britain (1689M), disusuli American Declaration of Independence (1776M), diikuti oleh French Declaration (1789M), dan yang terkenal kemudian Universal Declaration of Human Rights (UDHR) yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948.

Hakikat bahawa Islam mendahului idea dan hujah asas mengenai hak asasi manusia membuktikan betapa Islam menyediakan asas bagi memandu manusia ke arah mencapai konsep hak asasi yang murni dan bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan. Dokumen yang istimewa ini perlu kembali menjadi panduan, bukan sekadar sebagai rujukan asas, malah untuk memperbetulkan landasan bagi kerangka hak asasi manusia kontemporari yang nampaknya semakin tersasar dengan manusia semakin menuntut hak kebebasan bermatlamatkan nafsu semata-mata, hak tanpa batas dan tidak menghormati kehidupan beragama.- MAJALAH DAKWAH

Azril Mohd Amin ialah seorang peguam dan ketua eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA). Beliau juga mempengerusikan Kluster Hak Asasi Manusia dan Undang-undang, Majlis Amal Islami (MAIM) YADIM.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *