Home » Langit Terbuka » PM Beri Jaminan Kerajaan Laksana Ajaran Islam Sebenar

PM Beri Jaminan Kerajaan Laksana Ajaran Islam Sebenar

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kitab al-Quran merupakan panduan terbaik buat seluruh umat Islam

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan melaksanakan ajaran Islam di negara ini berpandukan al-Quran.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kitab al-Quran merupakan panduan terbaik buat seluruh umat Islam.

Malah katanya, umat Islam mampu menyelamatkan agama, umat dan negara Islam lain sekiranya mereka kembali kepada al-Quran serta mengamalkan panduan hidup yang tertulis di dalamnya.

“Kalau tanya ke arah mana kita nak bawa agama Islam (di Malaysia), tiada cara selain kembali kepada al-Quran. Al-Quran banyak beri panduan tentang ad-din, cara hidup Islam. Kalau kita terima al-Quran sebagai panduan hidup utama, saya yakin Islam akan jadi agama bukan saja untuk dunia tapi akhirat juga.

“Itu kita akan cuba di Malaysia supaya kita kembali kepada al-Quran dan Sunnah,” katanya.

Namun begitu, Dr Mahathir melahirkan kebimbangan apabila terdapat segelintir orang Islam bergantung kepada tafsiran dan terjemahan daripada guru-guru mereka yang tidak dapat dipastikan sama ada mereka membawa Islam yang benar, atau tidak.

“Malangnya ada yang belajar, bergantung kepada tafsiran dan terjemahan daripada guru yang tak dapat dipastikan ikut tepat ajaran al-Quran atau tidak. Sebab itulah berlakunya perpecahan dan permusuhan kerana tafsiran berlainan berlaku dalam kalangan kita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, di pejabatnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan masa depan Islam di Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Ia berikutan terdapat kebimbangan ekoran pelantikan beberapa jawatan penting negara yang diberikan kepada bukan Islam.

Dr Mahathir juga berpendapat, cara terbaik menyelesaikan semua masalah pergolakan negara Islam adalah membawa semua umat Islam kembali kepada al-Quran.

“Kalau kita amal, sudah tentulah negara-negara Islam ini berjaya belaka dan mereka tak berperang sesama mereka dan juga tak lakukan perkara dilarang Islam,” katanya. – SINAR HARIAN ONLINE

https://www.sinarharian.com.my/nasional/pm-beri-jaminan-kerajaan-laksana-ajaran-islam-sebenar-1.858714

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *