Home » Langit Terbuka » PM saran umat Islam bersatu, ketepikan perbezaan politik

PM saran umat Islam bersatu, ketepikan perbezaan politik

Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Perkim, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cenderahati daripada Perkim yang disampaikan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor (dua, kanan) pada majlis Iftar Perkim malam ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menyaran umat Islam di negara ini mengetepikan perbezaan fahaman politik bagi mengelakkan perpecahan.

Perdana Menteri menyeru umat Islam agar bersatu-padu dan berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam al-Quran dan Hadis.

“Kita bukan sahaja Islam tetapi pegangan kita sama iaitu bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah pimpinan Iman Shafie, sebab itu kita tidak patut berpecah kerana fahaman yang sama.

“Saya berharap kita dapat mencantumkan semula umat Islam di Malaysia yang dipecah-belahkan berikutan perbezaan fahaman politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.

Hadir sama isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Sementara itu, Dr Mahathir turut melahirkan kesyukuran berikutan peralihan kuasa di negara berjalan dengan lancar tanpa sebarang keganasan selepas PRU14, 9 Mei lalu.

Beliau berkata di negara lain, kekecohan dan keganasan akan berlaku sehingga rakyat terbunuh apabila pemerintah gagal dan ditewaskan oleh parti lawan.

“Kita lihat di negara-negara Timur Tengah, apabila tukar kerajaan dari monarki ke kuku besi kepada sistem demokrasi dan mengadakan pilihan raya tetapi ia tidak berjaya untuk menubuhkan kerajaan berwibawa.

“Saya berasa amat gembira dan bersyukur pada Pilihan Raya Umum Ke-14 bukan sahaja kerana kita mencatatkan kemenangan tetapi ia berjalan dengan baik. Peralihan kuasa juga berlaku tanpa keganasan.

“Alhamdulillah di Malaysia walaupun pertukaran kerajaan berlaku tetapi tiada keganasan, pembunuhan dan sebagainya. Ini adalah sesuatu yang kita harus berterima kasih dan bersyukur kerana keamanan di negara ini,” katanya. -Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *