Home » Langit Terbuka » Projek Rintis Belia Imarahkan Masjid, Surau Solat Jumaat

Projek Rintis Belia Imarahkan Masjid, Surau Solat Jumaat

YADIM menawarkan program-program kemasyarakatan termasuk mengimarahkan masjid terutama melibatkan golongan belia melalui platform Sukarelawan YADIM. - Foto YADIM

Kuala Lumpur – Terdapat keperluan dalam mengadakan projek rintis membabitkan golongan anak muda dalam usaha untuk mengimarahkan masjid dan surau solat Jumaat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata dalam usaha itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan jabatan agama berkaitan perlu mempelopori program dengan mewujudkan seksyen khas bagi golongan muda untuk mengimarahkan tempat ibadah tersebut.

“Cadangan projek rintis ini dilihat mempunyai potensi untuk mendekatkan anak muda kerana apabila golongan itu dilantik menjadi ahli jawatankuasa belia, hanya mereka yang lebih tahu keperluan melibatkan pemuda.

“Saya akan memantau usaha ini setiap minggu termasuk mengadakan mesyuarat dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Persidangan Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah-wilayah Persekutuan Tahun 2022 di Masjid Wilayah di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Idris berkata setiap masjid dan surau itu berada di bawah Jawi, yang masing-masing mempunyai jumlah ahli jawatankuasa yang dilantik untuk mengendalikan aktiviti terutama dalam mengalu-alukan penglibatan belia dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata tiada ketetapan jumlah biro atau ahli jawatankuasa di mana-mana masjid dan surau ini, malah tidak boleh diwajibkan penyertaan kepada semua negeri kerana hal agama terpulang kepada bidang tugas masing-masing. – AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *