Home » Langit Terbuka » Qari Malaysia julang nama negara di Kuwait

Qari Malaysia julang nama negara di Kuwait

Azraie Abdul Hak (tiga dari kanan) menunjukkan sijil penghargaan kepada ahli keluarganya apabila dinobatkan Johan Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Kuwait Peringkat Antarabangsa Kali Kesembilan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, semalam. foto UTUSAN

SEPANG 19 April – Qari Malaysia, Azraie Abdul Hak berjaya mengharumkan nama negara apabila dinobatkan Johan Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Kuwait Peringkat Antarabangsa Kali Kesembilan.

Beliau yang berasal dari Melaka meraih markah tertinggi iaitu 96 peratus dalam kalangan 120 peserta dari 76 negara termasuk Timur Tengah yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Kemenangan berkenaan membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai KD5,000 (RM65,000), sijil dan cenderamata.

Menurut Azraie, walaupun berbeza satu markah berbanding naib johan dari Iran, beliau bersyukur kerana rezeki memihak kepadanya.

Katanya, tilawah berkenaan disifatkan amat mencabar kerana sekiranya berlaku kesilapan bacaan, barisan hakim serta-merta memotong markah sekali gus menyebabkan peserta terkeluar daripada senarai pemenang.

“Saya sudah tiga kali menyertai pertandingan tilawah peringkat antarabangsa, tetapi kali ini adalah paling mencabar kerana kaedah penghakimannya begitu teliti.

“Malah persaingan pertandi­ngan ini amat sengit kerana rata-rata peserta menyertainya pernah menjadi johan sebelum ini dan terdapat dalam kalangan mereka merupakan tokoh tilawah tersohor,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Azraie merupakan Naib Johan Qari dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2018/1439H yang berlangsung pada awal bulan ini.

Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat al-Quran Kuwait Pe­ringkat Antarabangsa Kali Kesembilan telah berlangsung sejak 10 April lalu dan berakhir semalam.

Majlis Penyampaian hadiah telah disempurnakan Amir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber al-Sabah di Istana Bayan.

Malaysia turut menghantar wakil bagi kategori hafazan iaitu Mohd. Syamim Morsyid, walaupun gagal mendapat sebarang kedudukan, namun pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berada dalam kelompok 30 peserta terbaik di kalangan 68 hafiz mengambil bahagian. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Mohon keampunan dengan istighfar & taubat

Bertitik tolak daripada strategi iblis dalam usahanya mengusir Adam dan Hawa a.s. dari syurga sehingga menyebabkan kedua-duanya lalai dan leka dengan pesanan

Pertandingan TikTok Dakwah Challenge YADIM 2025

PERTANDINGAN TIKTOK DAKWAH CHALLENGE YADIM bersempena Program Dakwah Negara 2025! Tema: “Membangun Adab, Membina Negara” Khusus untuk belia berusia 13-30 tahun Cipta

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *