Home » Langit Terbuka » Rakyat Perancis digesa tolak Le Pen

Rakyat Perancis digesa tolak Le Pen

PARIS 25 April – Presiden Perancis, Francois Hollande menggesa rakyat negara ini supaya tidak sesekali mengundi pemimpin nasionalis yang aktif mengkritik Islam, Marine Le Pen pada Pilihan Raya Presiden 7 Mei depan.

Le Pen, yang meraih sokongan undi sebanyak 21.3 peratus, akan berdepan dengan calon berhaluan sederhana, Emmanuel Macron yang mengungguli pusingan pertama pilihan raya dengan 24.01 peratus undi.

Hollande mengingatkan rak­yat Perancis, negara ini akan berdepan dengan pelbagai risiko pada masa hadapan sekiranya Le Pen menang.

Beliau juga berkata, secara peribadi, beliau hanya akan me­ngundi Macron yang pernah menjadi Menteri Ekonomi di bawah pentadbirannya.

Macron yang mewakili Parti En Marche! yang diasaskannya pada bulan April tahun lalu muncul sebagai calon popular memenangi pilihan raya itu sekali gus bakal menjadikannya pemimpin termuda dalam sejarah Perancis.

Macron, 39, berjanji untuk menyatukan rakyat negara itu dalam setiap agenda yang dibawa­nya untuk memperbaharui politik dan memodenkan Peranchis sama sekali bertentangan dengan kemahuan Le Pen dan ancaman golongan nasionalis.

“Sejak beberapa bulan dan sekali lagi hari ini saya mende­ngar keraguan, kemarahan dan ketakutan rakyat Perancis. Mereka juga mahukan perubahan,” katanya di depan penyokongnya selepas berjaya mara ke pusingan seterusnya.

Ekoran kemenangan Macron, mata wang euro mening­kat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila kebimbangan Perancis mungkin keluar daripada Ke­satuan Eropah (EU) terhapus.

Sementara itu, Le Pen yakin dasar yang cuba dibawa oleh Macron akan memenangi hati rak­yatnya.

“Bagaimanapun, dasar dan ju­ga sikap yang ditonjolkan oleh Macron sebenarnya bukan kualiti seseorang yang sayangkan negaranya.

“Kita yang akan menang pada kali ini. Saya sudah sampai ke pusingan seterusnya dan pasti kemenangan akan berpihak pada kita,” tegasnya.

Tambah Le Pen, pusingan kedua akan menjadi medan yang akan menentukan masa depan negara dengan pemimpin itu berazam membawa keluar Perancis daripada EU.

Le Pen dan Macron dijangka akan berdebat antara satu sama lain pada 3 Mei depan. – www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *