Home » Langit Terbuka » Rejim Zionis pintas, tahan peserta Women’s Boat To Gaza

Rejim Zionis pintas, tahan peserta Women’s Boat To Gaza

GAZA, 5 Okt. – Tentera laut rejim Zionis memintas pelayaran Zaytouna-Olivia yang dalam program ‘Women’s Boat To Gaza’ bertujuan mematahkan sekatan terhadap Semenanjung Gaza, kira-kira 35 batu nautika dari pantai Israel, malam tadi.

Tiga belas peserta pelbagai negara, termasuk dari Malaysia yang menyertai misi Zaytouna-Olivia tidak memberi apa-apa tentangan ketika tentera rejim mengambil alih bot, yang kemudian dibawa berlabuh di pelabuhan Ashdod, Israel.

Women’s Boat to Gaza, satu inisiatif International Freedom Flotilla Coalition, bertolak dari Barcelona, Sepanyol, sepatutnya tiba di pelabuhan Gaza awal malam tadi, tetapi dipintas tentera laut Israel.

Antara peserta di atas Zaytouna-Olivia, termasuk beberapa anggota Parlimen, atlit Olimpik, bekas kolonel tentera Amerika Syarikat (AS) dan pemenang Nobel Peace Prize, Laureate Mairead Maguire dari Ireland Utara.

Bot berkenaan belayar menggunakan bendera Belanda. Sebuah lagi bot, Amal 2, terpaksa berpatah balik ke Barcelona berikutan masalah teknikal. Tetapi, penganjur percaya bot itu disabotaj.

Menurut laporan dan gambar di media sosial, ribuan wanita dan kanak-kanak Palestin berkumpul di pantai Gaza sambil mengibar bendera Palestin bagi menyambut ketibaan Zaytouna-Olivia.

Hubungan komunikasi dengan Zaytouna-Olivia gagal, menyebabkan pertubuhan media dan aktivis percaya rejim Israel memutuskan isyarat dari bot berkenaan.

Dalam laman webnya, penganjur Women’s Boat To Gaza berkata, mereka terputus hubungan dengan Zaytouna-Olivia dan menganggap tentera laut Israel telah mengepungnya di perairan antarabangsa dan memaksanya tidak memasuki Gaza.

Berdasarkan tweet dari Women’s Boat to Gaza, bot berkenaan dikepung oleh tentera laut Israel dan menjangkakan kapten bot, bekas pegawai tentera AS, Kolonel Ann Wright, dipaksa mengubah haluan, sebelum mereka ditahan, disoal siasat dan dihantar pulang.

Pada 2010 lalu, pelayaran flotila mencetuskan tragedi apabila tentera rejim Israel menyerbu kapal Mavi Marmara. Ketika operasi itu, 10 terbunuh, termasuk sembilan warga Turki dan aktivis warga Amerika. Seorang daripada warga Turki itu meninggal dunia pada 2014 selepas koma hampir empat tahun. – Agensi

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *