Home » Persuasif » Resolusi Forum Mega Ummat 2016

Resolusi Forum Mega Ummat 2016

Forum Mega Ummat 2016 yang telah diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam pada 1 Oktober lalu telah mengeluarkan satu resolusi yang antara lain menekankan sokongan kepada pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Syariah) (Akta 355).

Berikut adalah teks penuh resolusi berkenaan:

Pendahuluan

Sekretariat Umat Menyokong Memperkasa Akta Tiga lima lima (UMMAT) adalah sebuah himpunan lebih daripada 500 NGO Islam (NGI) diwujudkan pada bulan Jun 2016 bertujuan menyokong Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) untuk memperkasakan bidang kuasa jenayah Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia yang kini terbatas kepada hukuman maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000.00 dan enam kali sebatan syarie.

Untuk mencapai maksud itu, UMMAT telah memulakan kempen menyokong pindaan Akta 355 menerusi demonstrasi aman di Masjid Negara, Kuala Lumpur diikuti siri-siri penerangan di seluruh negara dengan menumpukan kawasan-kawasan Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat untuk menjelaskan isu cadangan pindaan Akta 355 berkenaan. UMMAT juga aktif meneruskan perjuangannya menerusi media cetak, media sosial dan wakil-wakilnya muncul di kaca televisyen dan siaran radio dari masa ke semasa.

Forum Mega UMMAT 2016 ini diadakan untuk menghimpunkan beberapa pemain utama dalam isu Akta 355 terdiri daripada wakil-wakil Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah membawa Usul berkenaan di Parlimen, wakil UMNO mewakilai Kerajaan dan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk duduk bersama dan menyampaikan pandangan mewakili partinya di gelanggang Forum Mega yang UMMAT sediakan.

Resolusi Forum UMMAT 2016

Maka Forum Mega UMMAT Pertama bertarikh 1 Otober 2016 yang diadakan ini telah merumuskan Resolusi Forum UMMAT seperti berikut:-

  1. Forum UMMAT 2016 menyokong usaha-usaha untuk memartabatkan Islam sebagai Agama Negara sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
  2. Forum UMMAT 2016 ini menyokong Usul cadangan pindaan Akta 355 ini, iaitu satu pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (pindaan) 2016 mempunyai tujuan yang jelas iaitu untuk meningkatkan dan memperkasakan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah supaya ia lebih berkesan dalam mentadbir-urus hal ehwal Agama Islam yang hanya terpakai ke atas orang-orang Islam di Malaysia.
  3. Forum UMMAT ini memberi ingatan kepada umat Islam di negara ini supaya mengenepikan fahaman politik atau kumpulan yang diikutinya dengan kembali kepada saranan perpaduan Islam iaitu dengan memberi sokongan yang padu ke arah usaha-usaha untuk melindungi kepentingan umat Islam di Malaysia khususnya menerusi pindaan Akta 355.
  4. Forum UMMAT ini menyeru kesemua Ahli Parlimen yang beragama Islam samada di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang memberikan sokongan yang padu dengan menyokong untuk meluluskan Usul pindaan kepada Akta 355 ini apabila ia dibentangkan dan dibahaskan semasa sesi di Parlimen yang akan datang, yang dijangka akan bermula pada bulan Oktober 2016 kelak.
  5. Forum UMMAT juga memohon pertimbangan wajar Ahli-Ahli Parlimen bukan Islam supaya menyokong cadangan pindaan Akta 355 ini kerana pindaan ini tiada kaitan dengan orang bukan Islam di negara ini dan pindaan terhadap Akta 355 sama sekali TIDAK AKAN menganggu gugat kepentingan masyarakat bukna Islam di Malaysia..

 

Akhir Kata

Resolusi Forum Mega UMMAT 2016 ini akan diangkat ke pihak berkaitan kini untuk tindakan wajar selanjutnya sehinggalah pindaan Akta 355 ini Berjaya dilaksanakan.

Sekretariat UMMAT 2016

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *