Home » Langit Terbuka » RM5 juta buat Palestin bina semula Klinik Al-Remal

RM5 juta buat Palestin bina semula Klinik Al-Remal

Klinik Al Remal mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei. - Foto DSA

PUTRAJAYA – Malaysia menyumbang RM5 juta kepada Palestin untuk membantu usaha membina semula Klinik Al-Remal yang menempatkan satu-satunya makmal ujian Covid-19 di Gaza yang mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel pada Mei.

Pertukaran Nota (EoN) mengenai sumbangan itu dimeterai Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali di Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini pada 14 Oktober.

Saifuddin berkata sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu mencerminkan sokongan padu Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin.

“Serangan yang tidak henti-henti oleh Israel telah musnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kritikal kepada rakyat Palestin di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19,” katanya di majlis menandatangani EoN itu.

Saifuddin berkata, kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk memberikan sumbangan jangka panjang kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), sebagai menyokong usaha agensi itu membantu rakyat Palestin.

Beliau berkata sebagai tambahan kepada sumbangan kewangan kepada UNRWA sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan US$1 juta yang akan dibayar sebanyak US$ 200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

“Sumbangan kerajaan itu sebagai pelengkap kepada usaha kemanusiaan dan bantuan dari Malaysia, termasuk yang dilakukan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

Selain bantuan kewangan, Saifuddin berkata, Malaysia juga sedang mencari kaedah lain untuk membantu rakyat Palestin dari segi pendidikan dan pekerjaan.

“Terdapat ramai penuntut Palestin di Malaysia, ada dapat biasiswa dan ada tidak. Kami mahu bincang perkara ini dengan pihak berkaitan untuk lihat bagaimana kita boleh bantu pelajar Palestin di Malaysia dan menarik lebih ramai datang belajar di sini dengan bantuan kewangan.

“Mengenai pekerjaan pula, rakyat Palestin yang tinggal di sini hanya guna kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian ) dan kami akan pastikan mereka tidak dieksploitasi,” katanya.

Sementara itu, Walid berkata klinik itu sangat penting kepada penduduk Palestin kerana ia juga digunakan sebagai ibu pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza.

Klinik itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei.

“Malaysia adalah antara negara yang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Palestin. Kami amat hargai bantuan diberikan Malaysia untuk membina semula apa yang telah rosak akibat serangan udara Israel,” katanya.

Walid berkata beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia yang senantiasa menyokong perjuangan Palestin sejak lebih tujuh dekad. – Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *