Home » Langit Terbuka » Rusia boleh manfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global kewangan Islam – PM Anwar

Rusia boleh manfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global kewangan Islam – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama pada sesi pleno sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Kampus Far Eastern Federal University (FEFU) hari ini. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Rusia boleh memanfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kewangan Islam adalah bidang yang sesuai untuk kerjasama bagi kedua-dua negara itu kerana Malaysia memiliki ekosistem institusi teguh yang bukan sahaja mematuhi Prinsip Syariah tetapi juga memacu inovasi dalam instrumen kewangan.

“Rusia, dengan populasi Islam yang ramai, mempunyai potensi besar dalam kewangan Islam, dan saya percaya pengenalan perbankan Islam di Rusia akan dapat memudahkan projek bersama dan menarik pelaburan besar daripada negara dengan majoriti penduduk Islam,” kata beliau ketika berucap pada sesi pleno di Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9, di Vladivostok, Rusia, hari ini.

Menurut laporan berita, Rusia melancarkan sistem perbankan Islam di empat wilayah utama yang didominasi Muslim di negara itu bermula 1 Sept tahun lalu sebagai sebahagian daripada program perintis dua tahun.

Rusia mempunyai populasi Islam yang besar berjumlah antara 20 dan 25 juta orang.

Sementara itu Anwar berkata sebagai satu daripada pengeluar dan pengeksport bijirin terbesar di dunia, Rusia memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan global dan negara itu merupakan antara pemain utama dalam sektor pertanian.

“Eksport pertanian Rusia memainkan peranan penting dalam menstabilkan pasaran global di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang berterusan,” kata beliau.

Mengenai pendidikan dan penyelidikan, Perdana Menteri berkata Rusia memiliki reputasi cemerlang dalam sektor ini sejak sekian lama, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Beliau berkata universiti di Rusia secara konsisten disenaraikan antara yang terbaik di dunia, melahirkan saintis, jurutera dan penyelidik bertaraf dunia.

“Penubuhan Pusat Teknologi Tinggi Rusia-Malaysia (RMHTC) di Malaysia baru-baru ini mencerminkan komitmen kami untuk memupuk inovasi teknologi dan kecemerlangan akademik,” katanya.

Mengenai usaha kerjasama membangunkan penyelesaian berteknologi tinggi, terutamanya dalam kecekapan tenaga, penghantaran data dan teknologi bandar pintar, Anwar berkata Putrajaya dan Moscow boleh memanfaatkan kekuatan kolektif masing-masing untuk memacu inovasi dan menangani cabaran abad ke-21.

Selain itu, beliau berkata, dorongan untuk kemajuan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi semikonduktor harus dipandu oleh nilai kemanusiaan dan sikap tidak pentingkan diri sendiri.

“(Ini) untuk memastikan persaingan teknologi dan ketidaksamaan tidak akan menjadi halangan kepada perdagangan bebas serta membawa kepada landskap geopolitik yang lebih berpecah-belah,” katanya.

EEF ke-9 itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja dua hari Anwar ke Rusia bermula semalam.

Sesi pleno itu yang turut disertai Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai ahli panel, disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook Perdana Menteri dan stesen televisyen tempatan termasuk Bernama TV, Radio Televisyen Malaysia, Media Prima, Astro Awani, TVS dan TV Al-Hijrah.

Lawatan kerja ini merupakan kunjungan rasmi pertama Anwar ke Rusia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2022. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *