Home » Langit Terbuka » RUU 355: Sekretariat Ummat anjur Munajat Perdana

RUU 355: Sekretariat Ummat anjur Munajat Perdana

KUALA LUMPUR, 25 Okt. – Sebagai tanda sokongan kepada usul Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, Sekretariat Ummat akan mengadakan Munajat Perdana pada 12 November ini.

Program itu akan diadakan di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Semarak, Kuala Lumpur bermula jam 5 petang hingga 10 malam.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, dalam program berkenaan, kita adakan sesi penjelasan mengenai RUU 355 dalam bentuk ceramah dan berakhir dengan munajat.

Katanya, tindakan ini dilakukan supaya semua masyarakat faham bahawa RUU 355 ini penting untuk umat Islam.

“Sebab itu kita akan berjuang habis-habisan untuk memperjelaskan kepada semua.

“Dalam masa yang sama, siri ceramah lain akan berjalan seperti biasa di seluruh negara,” katanya kepada Ismaweb.

Sementara itu mengulas mengenai usul RUU 355 yang dilaporkan berubah kedudukan dalam kertas perintah di Parlimen, katanya itu perkara biasa dalam sesi perbahasan.

“Kita tetap yakin ianya akan dibentangkan. Lagipun sesi Parlimen pun lambat lagi nak berakhir.

“Dijangka akhir Disember. Jadi masih ada banyak masa. Parlimen seperti biasa akan mendahulukan urusan kerajaan.

“Dalam masa yang sama kita juga akan berusaha berjumpa dengan pihak-pihak tertentu untuk memastikan ianya dapat dibentangkan pada sesi kali ini,”katanya.- ISMAWEB

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *