Home » Langit Terbuka » RUU Keharmonian Nasional berpotensi ceroboh urusan Islam

RUU Keharmonian Nasional berpotensi ceroboh urusan Islam

Aminuddin Yahya

Kuasa suruhanjaya bercanggah pembahagian kuasa negeri, Pusat

BANGI – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sekali lagi menyatakan penolakan terhadap cadangan penggubalan draf Rang Undang-Undang (RUU) Keharmonian Nasional yang dikemukakan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

UMMAH yang dinaungi lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sepakat menolak RUU berkenaan yang kandungannya bercanggah dengan prinsip keharmonian dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Sekretariatnya UMMAH, Haji Aminuddin Yahya berkata, kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional dalam RUU itu, apabila dibaca secara bersama, terutama Seksyen 12(2)(iii); Seksyen 16 dan Seksyen 21, dilihat berpotensi untuk menceroboh hal ehwal agama Islam di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu.

“UMMAH melihat RUU Keharmonian Nasional memberi kuasa kepada suruhanjaya itu untuk melaksanakan penyiasatan, termasuk mengeluarkan perintah berbentuk larangan dan mandatori.

“Apa yang membimbangkan, kuasa mereka berkait dengan isu atau konflik keagamaan, termasuk hal ehwal agama Islam. Langkah itu sebenarnya jelas bercanggah dengan pembahagian kuasa di antara Persekutuan dan Negeri-Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Akta Keharmonian Nasional adalah RUU baharu yang dicadang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, yang akan dimansuhkan.

Aminuddin berkata, UMMAH juga melihat Seksyen 11 RUU Keharmonian Nasional telah memberikan kekebalan kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional dan ahli-ahlinya daripada sebarang tindakan makamah.

“Kalau kita lihat, peruntukan itu mengatasi prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“UMMAH tidak bersetuju dan bertegas bahawa Suruhanjaya Keharmonian Nasional tidak wajar diberikan kekebalan, sehingga mengatasi undang-undang sedia ada, seperti Akta Hasutan dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sungguhpun kandungan RUU menyebut bahawa tujuan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional adalah bagi mempromosikan keharmonian, perpaduan, dan kesaksamaan, tetapi UMMAH tidak melihat perkara demikian diketengahkan.

Sebaliknya, Aminuddin berkata, pendekatan yang diambil dalam RUU itu lebih bersifat simplistik dan tidak menyeluruh.

“RUU Harmoni tidak mendalami inti semangat pembinaan negara bangsa Malaysia yang sebenar. Kuasa-kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian Nasional tidak spesifik.

“Makna kata, mereka hanya berfungsi untuk memadamkan api apabila terdapat konflik, bukannya membuat tindakan menyeluruh untuk membina perpaduan dan keharmonian sebenar dalam jangka panjang,” katanya. – ISMAWEB

Artikel Berkaitan

Ujian di bulan Ramadan

Ramadan ialah bulan ujian dan latihan perang melawan nafsu. Ujiannya memang berat dan payah sekali. Daripada keseluruhan umat Islam yang menyertainya, barangkali

3 Tingkatan Puasa

Imam Ghazali RA dalam kitab Ihya Ulumuddin telah mengkategorikan puasa kepada 3 peringkat iaitu: 1. As-Saumul umum – puasa umum. 2. As-Saumul

5 sebab pentingnya berjemaah

Mengerjakan solat fardu lima kali sehari semalam merupakan salah satu rukun Islam dan diumpamakan sebagai tiang agama. Jika roboh tiang itu, maka

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *