Home » Citra Yadim » Sambut tahun baru 2018 dengan #QuranHour

Sambut tahun baru 2018 dengan #QuranHour

KOTA KINABALU 27 Dis. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah, menampilkan kelainan dalam menyambut tahun baru masehi 2018 dengan menganjurkan progam Satu Jam Bersama Al-Quran (#QuranHour) Peringkat Negeri Sabah 2017 Bil.2/2017.

Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki berkata, program berkenaan akan diadakan pada 31 Disember ini bermula pukul 5 petang sehingga 9.30 malam bertempat di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, selain YADIM, program berkenaan adalah anjuran bersama Kerajaan Negeri, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sabah, RTM Sabah, Sabahfm, Warisan Ummah Ikhlas Foundation, Rumahngaji dan Kumpulan Media Karangkraf.

“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini sambil memperolehi ilmu daripada aktiviti yang dilaksanakan seperti membaca, tadabbur dan tazakkur Surah Al-Fatihah serta sesi perkongsian ilmu,’’ katanya.

Beliau berkata, memeriahkan lagi program berkenaan adalah kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama , Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin dan isteri, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman dan isteri serta Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif.

Menurutnya, program ini dijangka dihadiri seramai 1,500 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaki tangan kerajaan, pihak swasta, ahli-ahli badan bukan kerajaan (NGO), golongan belia dan orang perseorangan.

“Program ini diadakan bagi mendekatkan al-Quran kepada masyarakat dan insya-Allah ia akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak,’’ katanya.

Beliau berkata, YADIM sentiasa berusaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran dengan pelbagai program dilaksanakan sebagai salah satu usaha mendidik masyarakat dengan ajaran Islam serta menghindarkan mereka daripada terlibat dengan gejala sosial.

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *