KUANTAN – YADIM Negeri Pahang dengan kerjasama Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 12 September telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul 1448H / 2026M bertemakan “Hidup Cara Nabi”.
Penganjuran ini bertujuan menyemarakkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, memperkukuh penghayatan agama serta mengajak masyarakat untuk mengamalkan sunnah Baginda sebagai panduan hidup.
Program bermula pada sebelah petang dengan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak, diikuti dengan perarakan meraikan Maulidur Rasul bersama para jemaah. Selepas solat Maghrib pula, majlis diteruskan dengan selawat qasidah yang menghidupkan suasana kecintaan kepada Rasulullah SAW sebelum sesi tausiyah bermula.
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tausiyah oleh Al Fadhil Qadhi Tuan Haji Syarafuddin Mohamad Sa’ad dari Pejabat Agama Islam Bandaraya Kuantan. Seterusnya, pengisian utama disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Sheikh Mukhtar Jamel selaku penceramah jemputan, yang menekankan kepentingan meneladani akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Turut hadir ialah Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Aizuddin Hakim Mohd Yusof, serta Imam 1 Masjid Tengku Ampuan Afzan, Ustaz Hafidz Mohamad Suhaile.
Dengan tema “Hidup Cara Nabi”, YADIM Negeri Pahang berharap agar pengisian yang disampaikan dapat membentuk masyarakat yang berakhlak mulia, beriman dan beramal dengan sunnah Rasulullah SAW sebagai pedoman kehidupan.



KOMEN