Home » Langit Terbuka » Sarawak tidak menentang pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40

Sarawak tidak menentang pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40

ROLAND (tengah) mendengar taklimat ringkas dari penganjur berhubung Makmal Bakat dan Inovasi Digitial di Hotel Penview hari ini.

KUCHING: Pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi tidak menjadi masalah, sekiranya hanya melibatkan sekolah pelajar Islam di bawah Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Roland Sagah bagaimanapun berkata pelaksanaan tersebut perlu diperincikan dengan lebih lagi sebelum ia dilaksanakan.

“Jadi, sekiranya pelajar bukan Islam mahu menambah ilmu dengan mengikuti pelajaran hadis tersebut, saya tiada masalah. Tetapi bukan secara wajib.

“Sekiranya pelajar bukan Islam juga wajib untuk mengikuti pelajaran itu, saya juga tidak akan bersetuju dengan perkara sedemikian,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Makmal Bakat dan Inovasi Digitial di Hotel Penview hari ini.

Tambah Roland lagi, jika sebelum ini pelajar Islam di Sarawak yang bersekolah di sekolah mubaligh juga mempelajari kitab Bible, malah perkara itu tidak menjadi satu isu.

“Ia bukan menjadi satu masalah, dan kita juga tidak mendengar ada isu mereka bertukar agama. Tetapi ia menjadikan mereka lebih berpengetahuan.

“Kita di Sarawak juga sangat terbuka, lihat sendiri bagaimana Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang beragama Islam, tetapi dalam hal peruntukan beliau tidak meninggalkan agama-agama lain, malah turut memberikan dana untuk gereja dan kuil yang ada negeri ini,“ tegasnya.

Pada 19 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan untuk memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul tersebut akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun hadapan.

Bagaimanapun, perkara tersebut mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.

Justeru, baru-baru ini Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying turut memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan, Fadlina telah menjelaskan dalam satu mesyuarat bahawa modul berkenaan akan hanya dilaksanakan khusus bagi pelajar beragama Islam. –UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *