Home » Langit Terbuka » Satu pihak sahaja perlu untuk tukar agama: Mahkamah diberitahu

Satu pihak sahaja perlu untuk tukar agama: Mahkamah diberitahu

PUTRAJAYA, 30 Nov.  – Hanya kebenaran ibu atau bapa diperlukan untuk menukar agama seorang anak bawah umur kepada agama Islam, demikian Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan, Dr Arik Sanusi Yeop Johari berhujah bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan membenarkan agama seseorang di bawah umur 18 tahun boleh ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Katanya, perkataan ‘parent’ dalam Perkara 12(4) itu digunakan dalam bentuk ‘tunggal’ dan ia merujuk kepada sama ada bapa atau ibu kanak-kanak itu.

Beliau turut mengguna pakai penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2007 dalam kes penjagaan anak R.Subashini lawan T. Saravanan yang memutuskan seorang ibu atau bapa tunggal boleh menukar agama anak-anak mereka kepada Islam.

Arik Sanusi mewakili kerajaan Malaysia dan Kementerian Pendidikan dalam kes rayuan guru tadika, M. Indira Gandhi terhadap penukaran agama unilateral anak-anak mereka kepada Islam oleh bapa mualafnya, Muhammad Riduan Abdullah.

Responden lain dalam kes rayuan tersebut adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, kerajaan negeri Perak dan Pendaftar Mualaf.

Arik Sanusi berkata, penukaran agama anak-anaknya kepada Islam oleh bapa mereka adalah sah dan mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Subashini, katanya, Mahkamah Persekutuan telah mentafsirkan perlembagaan dengan betul untuk memberikan seorang ibu atau bapa hak untuk menukar agama anak-anak kecil mereka.

Beliau juga berhujah status mahkamah syariah bukan lebih rendah dengan mahkamah sivil tetapi setara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah bahawa isu dalam kes Indira Gandhi adalah mengenai penukaran agama dan ia perlu diputuskan oleh mahkamah syariah.

Menurutnya, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Katanya, Pendaftar Mualaf telah mematuhi peruntukan-peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 untuk mendaftarkan penukaran agama itu.

Shamsul berkata, sijil penukaran agama kanak-kanak itu adalah bukti muktamad bahawa penukaran agama mereka dilakukan mengikut prosedur.

Indira Gandhi, 41, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Dis tahun lepas yang mengembalikan semula sijil penukaran agama tiga anaknya yang dibatalkan Mahkamah Tinggi Ipoh.

Kanak-kanak berkenaan, dua perempuan dan seorang lelaki yang masing-masing kini berusia 18, 17, dan lapan tahun, ditukarkan kepada agama Islam oleh bapa mereka Muhammad Riduan, 46, (sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan) pada April 2009 tanpa persetujuan Indira Gandhi selepas dia memeluk Islam.

Pada masa itu, kanak-kanak berkenaan masing-masing berumur 12 dan 11 tahun, serta 11 bulan.

Terdahulu, semasa prosiding, Haklim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel lima hakim, menyoal mengenai perkembangan arahan Mahkamah Persekutuan untuk Ketua Polis Negara menangkap bapa mualaf itu kerana ingkar perintah Mahkamah Tinggi untuk beliau menyerahkan anak bongsunya kepada bekas isterinya.

Shamsul menjawab bahawa usaha mengesan Muhammad Riduan gagal dan beliau masih berada dalam negara.

Panel hakim turut dianggotai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, dan hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abdu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali.

Sebelum ini, panel tersebut mendengar hujahan daripada barisan peguam Indira Gandhi iaitu K. Shanmuga, Aston paiva dan Fahri Azzat pada 14 Nov lepas.

Mahkamah kemudian menangguhkan keputusan rayuan itu kepada satu tarikh yang belum ditetapkan. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *