Home » Langit Terbuka » Saudi pertingkat kawalan keselamatan

Saudi pertingkat kawalan keselamatan

Kira-kira 2.5 juta jemaah mengerjakan umrah pada musim kali ini.

RIYADH 18 Jun – Unit Pertahanan Awam Arab Saudi telah mempertingkatkan kawalan keselamatan sepanjang 10 hari terakhir bulan Ramadan bagi memastikan jemaah umrah menjalani ibadah itu dengan selesa di Mekah dan Madinah.

Kira-kira 2.5 juta jemaah umrah dari dalam negara dan luar negara menunaikan ibadah itu pada musim kali ini, lapor portal Arab News.

Pengarah Besar unit berke­naan, Jeneral Sulaiman Abdullah Al-Amro berkata, kakitangannya yang dilengkapi kenderaan ditempatkan di kawasan tawaf bagi memudahkan mereka membawa jemaah ke pusat perubatan berhampiran jika diperlukan.

Pihaknya juga akan mengeluarkan saman terhadap kenderaan membawa jemaah yang melepaskan asap berlebihan.

Masjid Nabawi di Madinah telah membuat persediaan bagi menerima 15,000 jemaah umrah dengan meningkatkan kemudahan terutama bagi jemaah umrah yang mendaftar dalam talian.

Jemaah yang akan menjalani ibadah iktikaf di Mekah juga telah dinasihatkan untuk membawa kelengkapan diri asas dan empat set baju termasuk baju panas berikutan hawa sejuk daripada penyaman udara dalam Masjidilharam.

Sementara itu, Pengarah Pintu Masuk Masjid Nabawi, Saud Al-Saadi berkata, sehingga kini seramai 11,432 jemaah lelaki dan 2,143 jemaah wanita mengerjakan ibadah iktikaf di masjid berkenaan.

“Pihak pengurusan telah menyediakan tiga kawasan utama untuk golongan lelaki melakukan iktikaf dan satu kawasan untuk golongan wanita manakala jemaah yang memasuki masjid perlu mendaftar secara elektronik di setiap pintu masuk,” katanya yang dipetik oleh portal Saudi Gazette.

Menurut beliau, jemaah juga perlu mematuhi peraturan terutama menjaga kebersihan masjid dan tidak mengganggu jemaah lain selain tidak dibenarkan menggantung pakaian pada almari yang menyimpan Al-Quran dan dinding masjid.

Seramai 445 kakitangan ditempatkan di kawasan wanita termasuk 343 pekerja wanita yang ditugaskan menjaga kebersihan kawasan berkenaan selain 900 barisan disediakan untuk jemaah wanita berbuka puasa dalam masjid berkenaan.

Utama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *