Home » Langit Terbuka » ‘Saya terbuka rai pandangan NGO Islam demi dakwah terus subur’ – Idris

‘Saya terbuka rai pandangan NGO Islam demi dakwah terus subur’ – Idris

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memberi jaminan untuk bersikap terbuka menerima idea dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tempatan.

Malah, beliau menyeru mereka tidak malu menyuarakan pandangan walaupun tampak unik demi pembangunan agenda dakwah di negara ini terus diperkasakan dengan lebih sempurna.

“Saya begitu terbuka untuk dengar dan raikan segala idea daripada rakan-rakan NGO Islam bagi memastikan bidang dakwah di Malaysia akan terus subur berbanding situasi sebelum ini.

“Masing-masing pun ada kekuatan dan kepakaran tersendiri yang sudah pasti kita di pihak kerajaan boleh bekerjasama serta saling lengkap melengkapi antara satu sama lain,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pertemuan Pemimpin Amal Islami dan NGO Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini pada 28 November.

 Program itu melibatkan dialog dan pertukaran idea dengan para pemimpin 120 NGO Islam dari seluruh negara yang menganggotai Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) di bawah Yadim.

Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau menyedari ada NGO terbabit yang masih lagi bimbang meluahkan pendapat sebenar kerana sebelum ini mereka dianggap sebagai antikerajaan.

“Saya tahu ada NGO takut berkongsi idea secara terbuka dan cakap berlapik sebab selama lebih 40 tahun sebelum ini bergerak lawan arus tetapi kini keadaan sudah berubah,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi mengulangi kesediaan meraikan perbezaan kerana langkah itu lebih baik berbanding membuat ‘bising’ di luar seolah-olah suara mereka konon tidak dipedulikan,

Dengan merujuk sendiri teras kedua Yadim sebagai agensi penyelaras NGO Islam dan rakan strategik memasyarakatkan dakwah, beliau menyeru mereka agar tidak takut bercakap jujur.

Bahkan ketika perhimpunan bulanan agensi-agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelmarin, isu itu turut dibangkitkan beliau sejajar dengan dasar Keluarga Malaysia.

Permuafakatan dan keharmonian antara kerajaan dan NGO Islam menerusi MAIM ujarnya, perlu digerakkan secara bersepadu kerana manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan rakyat.

“Gerak kerja juga perlu diperluaskan dan kita bukan hanya sekadar melakukan pertemuan dialog semata-mata tetapi apa yang lebih penting ialah tindakan susulan selepas ini,” tegas Idris. -UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *