Home » Lagenda » Sebanyak Rezeki, Kebaikan dan Pahala yang Dijanjikan Allah…

Sebanyak Rezeki, Kebaikan dan Pahala yang Dijanjikan Allah…

Berbahagialah Abdurrahman bin Auf dengan limpahan kurnia dan kebahagiaan yang diberikan Allah SWT kepadanya.

Susunan HAFEEZ NUR

Abdurrahman bin Auf adalah sahabat Rasulullah SAW yang tergolong dalam sepuluh sahabat yang diberi khabar gembira dijanjikan syurga oleh Rasulullah. Beliau berketurunan Bani Zuhrah daripada suku kaum Quraisy. Beliau memeluk Islam semasa Rasulullah SAW memperkembangkan dakwah Islamiyah iaitu sebelum memasuki Darul al-Arqam iaitu tempat pertemuan para sahabat dan orang-orang Mukmin. Beliau adalah orang kelapan yang memeluk Islam dan diislamkan oleh Abu Bakar As-Siddiq.

Pada zaman Jahiliyah, beliau dikenal dengan nama Abd Amr. Setelah masuk Islam, Rasulullah memanggilnya Abdurrahman bin Auf. Dikatakan Abdurrahman bin Auf mendapat hidayah dari Allah SWT dua hari setelah Abu Bakar As-Siddiq memeluk Islam.

Rasulullah SAW telah mempersaudarakan beliau dengan Sa’ad bin Rabi’ semasa Baginda SAW mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan Ansar di Madinah. Saidina Umar bin Al-Khattab juga telah meletakkan Abdurrahman bin Auf dalam kelompok musyawarah sebagai calon khalifah.

Semasa Rasulullah memerintahkan para sahabat berhijrah ke Habsyah, Abdurrahman bin Auf turut ikut serta. Beliau turut berjuang dalam perang Badar, Uhud dan lain-lainnya. Pada saat Perang Badar meletus, Abdurrahman bin Auf turut berjihad fi sabilillah. Dalam perang itu beliau berjaya menewaskan musuh-musuh Allah, di antaranya Umar bin Uthman bin Ka’ab At-Taimy. Begitu juga dalam Perang Uhud, Abdurrahman bin Auf tetap bertahan di samping Rasulullah ketika tentara Muslimin banyak yang meninggalkan medan perang.

Abdurrahman bin Auf memiliki keperibadian terpuji. Beliau adalah satu di antara yang terbaik dari kalangan sahabat baik dari segi akhlak, keperibadian, ibadah, keikhlasan mahupun ketinggian kedudukan. Beliau juga adalah salah satu dari sahabat terdekat Rasulullah dan bersama-sama Rasulullah selama dua puluh tiga tahun dakwah Baginda baik di Mekah mahupun di Madinah.

Abdurrahman bin Auf adalah sahabat yang terkenal dengan kekayaan dan sifat dermawannya. Beliau tidak pernah teragak-agak mengeluarkan hartanya untuk jihad di jalan Allah. Hartanya dinafkahkan di jalan Allah, baik secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan. Walau tergolong dalam kelompok ahli perniagaan terbesar pada masanya, namun, itu tidak memengaruhi jiwanya yang dipenuhi iman dan takwa. Pernah pada waktu Perang Tabuk, Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin untuk mengorbankan harta benda mereka. Dengan patuh Abdurrahman bin Auf memenuhi seruan Nabi SAW. Beliau mendahului seruan Rasulullah dengan menyerahkan dua ratus uqiyah emas.

Mengetahui hal tersebut, Umar bin Al-Khattab berbisik kepada Rasulullah: “Kelihatan seperti Abdurrahman berdosa kerana tidak meninggalkan wang belanja walau sedikit pun untuk keluarganya.”

Mendengarkan hal tersebut, Rasulullah SAW bertanya kepada Abdurrahman: “Apakah kau meninggalkan wang belanja untuk isterimu?”

“Ya,” jawab Abdurrahman bin Auf. “Mereka kutinggalkan lebih banyak dan lebih baik daripada apa yang telah kusumbangkan.”

Berapa?” tanya Baginda.

“Sebanyak rezeki, kebaikan, dan pahala yang dijanjikan Allah,” jawab Abdurrahman bin Auf.

Malah, sifat dermawannya terserlah sehingga beliau pernah menjual tanahnya dengan harga 40 ribu dan kemudiannya dibahagi-bahagikan kepada keluarganya dari Bani Zuhrah, isteri Baginda Rasulullah SAW dan fakir miskin. Abdurrahman bin Auf juga pernah menyerahkan 500 ekor kuda sebagai kelengkapan peperangan tentera Muslimin. Sebelum meninggal dunia, beliau pernah berwasiat agar 50 ribu dinar wangnya didermakan ke jalan Allah, dan 400 dinar kepada semua orang yang berjuang semasa peperangan Badar.

Selain daripada sifat dermawannya, beliau juga terkenal sebagai antara sahabat Nabi SAW yang banyak meriwayatkan hadis. Beliau juga seorang yang zuhud terhadap jawatan yang diamanahkan kepadanya. Abdurrahman bin Auf melepaskan haknya untuk menjadi khalifah kepada Saidana Umar bin Al-Khattab. Sikapnya ini telah meletakkan beliau ditempat yang tinggi sebagai hakim di antara kelompok ‘Enam anggota Musyawarah’. Beliau telah memilih Saidina Uthman bin Affan sebagai khalifah seterusnya dan dipersetujui ramai.

Berbahagialah Abdurrahman bin Auf dengan limpahan kurnia dan kebahagiaan yang diberikan Allah SWT kepadanya. Ketika meninggal dunia, jenazahnya diiringi oleh para sahabat seperti Sa’ad bin Abi Waqqash dan lain-lain. Khalifah Ali bin Abi Thalib dalam ucapannya berkata: “Engkau telah mendapatkan kasih sayang Allah, dan engkau berjaya menundukkan kepalsuan dunia. Semoga Allah merahmatimu selalu.” Amin. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *