Home » Langit Terbuka » Sebelas putera raja bakal didakwa

Sebelas putera raja bakal didakwa

Putera Mahkota Mohammed Salman. Foto :  www.alaraby.co.uk

RIYADH 7 Jan. – Pendakwa Raya Arab Saudi mengesahkan seramai 11 putera raja ditahan selepas membantah peraturan yang ditetapkan kerajaan negara ini dan bakal dibicarakan atas dakwaan ‘mengganggu arahan dan ketenteraman awam’.

Saud al-Mojeb berkata, ke­semua suspek kini ditahan di bawah pengawasan ketat di penjara Al-Hayer, selatan Riyadh.

Media negara ini melaporkan kesemua putera itu ditahan selepas berkumpul di istana Qasr al-Hokm di sini bagi membantah keputusan kerajaan tidak mahu lagi membayar bil air dan elektrik untuk golongan diraja.

Mereka juga menuntut ganti rugi terhadap hukuman mati yang dijatuhkan terhadap salah seorang sepupu mereka yang didapati bersalah membunuh dan telah pun menjalani hukuman itu pada 2016.

“Walaupun telah diberitahu bahawa tuntutan mereka melanggar undang-undang, kesemua 11 putera raja itu enggan meninggalkan kawasan berke­naan sebaliknya mengganggu keamanan awam dan arahan,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Maklumat.

Beliau berkata, ekoran penahanan itu, mereka akan didakwa terhadap beberapa tuduhan yang berkaitan dengan kesalahan tersebut.

Arab Saudi telah melaksanakan undang-undang ketat sejak dua tahun lalu bagi meningkatkan pendapatan dan memotong perbelanjaan berikutan kejatuhan harga minyak yang mening­katkan defisit belanjawan.

Usaha negara ini untuk mempelbagaikan ekonomi yang dahulunya terlalu bergantung kepada minyak turut menyaksikan penahanan lebih 200 putera raja pada November tahun lalu dalam serbuan antirasuah atas arahan Putera Mahkota Mohammed Salman.

Kebanyakan mereka yang ditahan itu telah dikurung dalam hotel Ritz-Carlton. – AFP

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *