Home » Langit Terbuka » Selangor catat kes buang bayi tertinggi

Selangor catat kes buang bayi tertinggi

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Selangor mencatatkan jumlah kes pembuangan bayi tertinggi bagi tempoh 2010 hingga 2016 iaitu sebanyak 157 kes daripada 697 keseluruhan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, negeri lain yang merekodkan kes tertinggi ialah Sabah dan Johor dengan masing-masing 84 kes, diikuti Kuala Lumpur, 65 kes dan Sarawak 49 kes.

Jelas beliau, mengikut rekod 91 kes dicatatkan pada 2010, 98 kes pada 2011 dan menurun kepada 89 kes pada 2012.

“Jumlah kes meningkat semula pada 2013, 2014, 2015 dan 2016 iaitu masing-masing 90 kes, 103 kes, 111 kes dan 115 kes,” katanya menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada sesi pertanyaan jawab lisan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kerakyatan bayi yang ditinggalkan di Baby Hatch kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Rohani berkata, pemberian kerakyatan tertakluk kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun, katanya kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa memastikan kebajikan bayi terbabit terbela dengan menempatkan mereka di institusi JKM atau keluarga pelihara sebelum membantu dalam proses permohonan kerakyatan.

“Ini termasuk menguruskan terlebih dahulu permohonan Daftar Lewat Kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara bagi kanak-kanak yang ditinggalkan dan belum memperoleh sijil kelahiran selain menguruskan permohonan kewarganegaraan kanak-kanak yang belum ditentukan kewarganegaraan dengan memanjangkan permohonan kepada KDN,” katanya.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *