Home » Langit Terbuka » Semak kiblat petang Jumaat ini susulan matahari atas Kaabah

Semak kiblat petang Jumaat ini susulan matahari atas Kaabah

Semakan arah kiblat menggunakan kaedah Istiwa’ A’dzam, dilaksanakan dengan menegakkan objek yang lurus di kawasan lapang yang ada menerima cahaya matahari dan kemudian perhatikan pula bayangnya. - Foto NSTP

PUTRAJAYA- Umat Islam di Malaysia boleh membuat semakan tepat arah kiblat dengan hanya melihat bayang matahari pada Jumaat ini antara pukul 5.10 petang sehingga 5.40 petang.

Ia susulan fenomena dikenali sebagai Istiwa’ A’dzam atau kedudukan matahari berada pada titik zenith iaitu atas Kaabah di Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi ketika waktu berkenaan.

“Berdasarkan hisab kiraan falak, matahari dijangka tepat atas Kaabah pada 5.16 petang atau 12.16 tengah hari waktu Arab Saudi,” kata pakar falak syarie ternama, Hanafiah Abd. Razak ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau menambah, peristiwa bersejarah itu kelazimannya berlaku dua kali setahun dan jika terlepas, ada peluang seterusnya iaitu pada pukul 5.28 petang 16 Julai ini.

Semakan arah kiblat itu ujarnya, boleh dilaksanakan dengan menegakkan objek yang lurus di kawasan lapang yang ada menerima cahaya matahari dan kemudian perhatikan pula bayangnya.

Garisan daripada bayang matahari tersebut jelas beliau, akan terus menunjukkan ke arah Kaabah dan seterusnya boleh ditandakan sebagai rujukan khususnya untuk tujuan ibadah solat.

“Bagaimanapun, fenomena ini hanya bersesuaian diguna pakai untuk mana-mana kawasan dunia yang kebetulan berada dalam bahagian waktu siang antaranya Malaysia,” jelas Hanafiah.

Kaedah Istiwa’ A’dzam dianggap antara cara alamiah paling berkesan untuk penentuan arah kiblat dan sering digunakan umat Islam sejak lebih 1,400 tahun lalu sebelum kompas dicipta.

Kini, pelbagai aplikasi moden dalam talian digunakan bagi merujuk arah Kaabah namun beliau mengingatkan kaedah itu mungkin ada juga khilaf akibat kesan pengaruh paksi magnet bumi.

Keadaan tersebut tegas beliau, boleh mengakibatkan kedudukan kiblat tersasar kerana beza walaupun kecil hanya 1 darjah itu sebenarnya bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer.

Tahun lalu yang kebetulan merupakan tahun lompat dan berulang setiap empat tahun, fenomena semula jadi ini berlaku pada 27 Mei pukul 5.16 petang dan 15 Julai pukul 5.28 petang. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *