Home » Citra Yadim » Semarak Keluarga Malaysia RSY himpun peserta majmuk pelbagai kaum

Semarak Keluarga Malaysia RSY himpun peserta majmuk pelbagai kaum

KAJANG – Program Semarak Keluarga Malaysia anjuran Rakan Siswa YADIM di sini pada 26 Jun telah berjaya menghimpunkan lebih 350 peserta daripada pelbagai latar belakang.

Selain pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menjadi lokasi program, ia turut disertai oleh peserta luar termasuk yang bukan Muslim.

Program ini juga diselaraskan oleh Pengarahnya yang bukan Muslim, saudara Seow Han Lin selaku Exco Kesatuan Ummah dan Silang Budaya, Majlis Pimpinan Tertinggi RSY, menggambarkan betapa entiti di bawah YADIM ini benar benar bergerak dan menyantuni semua tanpa mengira latar belakang.

Ia bertepatan dengan objektif program yang memfokuskan kepada interaksi antara agama, diaspirasikan daripada inisiatif Keluarga Malaysia di bawa oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob serta selari dengan konsep Keluarga Malaysia: Keluarga Sejahtera yang diperkenalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad.

Program ini membawakan Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Dato’ Dr Teo Kok Seong dan Presiden Global Unity Network, Bro Shah Kirit sebagai ahli panel bual bicaranya.

Turut memberi pengisian ialah Pengerusi Yayasan Ar Ri’ayah, Habib Zaenal Abidin Al Hamid dan kumpulan INTEAM.

Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan dalam ucapan pada majlis penutup berkata, adalah menjadi tanggungjawab golongan muda khususnya siswa siswi ketika ini untuk tampil ke hadapan mewakili generasi muda menghadapi gejala sosial yang berlaku.

Tegasnya, generasi TikTok pada masa kini seolah tidak peduli lagi dengan pandangan kurang baik yang diterima asalkan mereka menjadi perhatian.

Mewakili KUIS pula ialah Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industrinya, Prof Madya Dr Mokmin Basri.

Beliau merakamkan penghargaan atas pemilihan KUIS sebagai lokasi program.

Menurutnya, hubungan KUIS dan YADIM telah lama terjalin rapat, malah pihaknya turut terlibat dengan inisiatif penyelidikan di badan dakwah itu.

Tambahnya, beliau difahamkan RSY KUIS ialah antara yang paling aktif mengadakan program.

Hadir sama ke majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda YADIM, Syahrizal Mat dan pimpinan RSY Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Semarak Keluarga Malaysia di KUIS ini adalah siri pertama daripada beberapa lagi yang dirancang untuk diadakan

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *