CHIANG RAI, THAILAND – Semua 12 kanak-kanak lelaki bersama jurulatih bola sepak mereka yang terperangkap lebih dari dua minggu dalam gua Tham Luang di sini yang ditenggelami air berjaya diselamatkan dan dibawa keluar semalam.
Menurut sumber dari unit elit tentera laut Thailand, kejayaan itu menamatkan misi menyelamat berbahaya yang mendapat perhatian dari seluruh dunia.
“Semua 12 anggota pasukan dan jurulatih mereka berjaya dikeluarkan dari gua itu dengan selamat,” demikian menurut catatan dalam facebook rasmi pasukan tentera laut Thailand itu.
Pamain bola sepak itu bersama jurulatih mereka terperangkap dalam gua itu sejak 23 Jun lalu ketika melakukan penjelajahan dalam kompleks gua di utara wilayah Chiang Rai itu selepas latihan bola sepak, namun hujan lebat menyebabkan terowong gua itu ditenggelami air.
Penyelam British menemukan kesemua 13 mereka dalam keadaan lapar dan berpelukan antara satu sama lain dalam kegelapan di tebing yang berlumpur dalam gua berkenaan beberapa kilometer dalam kompleks gua tersebut pada Isnin minggu lalu.
Selepas mengambil masa beberapa hari memikirkan usaha untuk menyelamat mangsa, operasi menyelamat dilancarkan pada Ahad lalu dengan empat kanak-kanak berjaya dibawa keluar.
Empat lagi mangsa berjaya dibawa keluar semalam dan empat mangsa terakhir bersama jurulatih mereka dibawa keluar hari ini. – REUTERS
KOMEN