Home » Citra Yadim » Sesi perundingan UPR Malaysia

Sesi perundingan UPR Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) telah mengadakan sesi perundingan gabungan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO) bagi proses semakan berkala sejagat (universal periodic review) (UPR) Malaysia pada 18 Ogos lepas bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur.

Sesi perundingan itu diadakan di bawah program Kluster Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia MAIM dan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia, (Centre for Human Rights Research and Advocacy) atau Centhra yang merupakan salah satu NGO yang bergabung di bawah MAIM.

Sesi perundingan ini merangkumi semakan separuh penggal status pelaksanaan bagi syor-syor kepada Malaysia semasa pusingan kedua UPR 2013 dan perbincangan rangka draf laporan pemegang-pemegang kepentingan (stakeholders) ke Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk sesi pusingan ketiga UPR Malaysia pada 2018.

Dalam sesi perundingan itu seramai 70 peserta yang terdiri daripada pimpinan-pimpinan NGO Islam seluruh negara hadir.

MAIM merupakan sebuah badan gabungan NGO Islam yang ditubuhkan pada 2005 dan terdiri daripada pelbagai pertubuhan dengan latar belakang lapangan, kepakaran, tumpuan dan aspirasi yang berbeza.

Majlis ini telah secara rasminya disempurnakan oleh Yang DIpertuan Agong pada 13 Januari 2009 di Putrajaya.

Manakala Centhra yang telah mula berfungsi semenjak 1 Mei 2014  hasil permuafakatan NGO Islam selepas selesainya giliran Malaysia membuat penerimaan akhir di pusingan kedua UPR di Geneva, Switzerland pada bulan Mac 2014.

Idea penubuhan Centhra diasaskan pada keperluan mendesak untuk menyediakan rangka pemikiran dan strategi jangka panjang kefahaman dan tindakan memperbaiki keadaan hak asasi manusia di Malaysia yang menurut perspektif serta pandangan alam Islam.

Centhra  didaftarkan sebagai sebuah entiti tidak berorientasikan keuntungan, berfungsi sebagai medium penyelidikan dan advokasi yang terlibat secara langsung dalam menangani isu-isu hak asasi manusia di peringkat nasional, serantau dan khususnya di peringkat Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *