Home » Wacana » Sesungguhnya manusia dalam kerugian…

Sesungguhnya manusia dalam kerugian…

 

Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan

 

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.” (al-Asr: 1-2).

Surah al-Asr mengandungi tiga ayat. Ia tergolong dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Inshirah. Hubungan surah ini dengan surah al-Takathur. Dalam surah al-Takathur disebutkan bahawa mereka suka berbangga-bangga dengan jumlah yang banyak dan dengan apa saja yang dapat melalaikan mereka daripada mentaati Allah SWT.

Dalam surah ini pula disebutkan tabiat manusia yang mendorongnya kepada kebinasaan dan menjerumuskannya ke lembah kehancuran, kecuali orang yang dilindungi oleh Allah SWT dan dihindarkan daripadanya kejahatan hawa nafsunya. Oleh itu, keterangan ini menjadi sebab turunnya surah al-Takathur. Di samping itu, disebutkan juga orang yang mengikut hawa nafsunya dan telunjuk syaitan sehingga terjerumus ke lembah kebinasaan.

Dalam surah ini juga disebutkan orang yang menghiasi diri mereka dengan tabiat yang baik, beriman kepada Allah SWT dan beramal soleh serta saling menasihati antara saudara-saudaranya agar berpegang teguh dengan tali kebenaran dan sabar menghadapi perkara-perkara yang tidak diinginkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.” (al-Asr: 1-2).

Firman Allah SWT: “Demi masa.”

Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terdapat banyak peristiwa dan pelajaran yang dijadikan sebagai petunjuk tentang kekuasaan, ketinggian hikmah dan keluasan ilmu-Nya.

Perhatikan kepada siang dan malam yang silih berganti yang kedua-duanya merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan…

Perhatikan juga kesenangan, kesengsaraan, sihat, sakit, kaya, miskin, segar, letih, susah, gembira dan sebagainya yang boleh dijadikan sebagai petunjuk bagi orang yang berfikiran waras bahawa alam ini mempunyai pencipta dan pentadbir.

Dia adalah Allah SWT yang sepatutnya dijadikan tumpuan ibadah dan tempat memohon untuk menghilangkan penderitaan dan mendatangkan kebaikan. Akan tetapi orang kafir selalu menghubungkan peristiwa buruk kepada masa.

Mereka berkata: “Ini salah satu antara malapetaka yang disebabkan oleh masa. Ini adalah bala musibah. Lalu Allah SWT memberikan petunjuk kepada mereka bahawa masa itu termasuk antara makhluk-makhluk-Nya yang di dalamnya (masa) berlaku pelbagai peristiwa baik atau buruk.”

Oleh sebab itu, jika seorang ditimpa musibah maka perkara itu hasil daripada perbuatan tangannya sendiri, bukan disebabkan oleh masa.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian…”

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya makhluk ini benar-benar mengalami penderitaan seperti kerugian dalam amal perbuatannya kecuali orang yang dikecualikan oleh Allah SWT.”

Justeru, amal perbuatan manusia itu yang menjadi punca kesengsaraannya, bukannya masa dan tempat. Amalan itulah yang menjerumuskannya ke lembah kebinasaan sehingga dosa seseorang terhadap Tuhannya yang mengurniakan pelbagai nikmat kepadanya dianggap dosa pelanggaran yang tidak ada tandingannya.

 

-MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *