Home » Aspirasi » Shahril bersaing warga asing usaha kedai perabot terpakai

Shahril bersaing warga asing usaha kedai perabot terpakai

PETALING JAYA – Dengan gaji sebagai pegawai penyelenggaraan di sebuah syarikat kereta di Shah Alam, Selangor, kehidupan Shahril Ismail, 34, boleh dikatakan selesa.

Bagaimanapun, selepas 7 tahun bekerja, Shahril menceburi perniagaan kedai makan seperti yang diusahakan keluarganya di Sekinchan, Selangor.

Beliau menguruskan kedai makan bersama isteri di Jalan Kebun, Klang, selama 2 tahun, namun perniagaannya tidak berjaya.

“Akhirnya saya nekad usahakan perniagaan perabot terpakai.

“Alhamdulillah, rezeki kami berlipat-ganda buat perniagaan ini. Syukur,” katanya kepada FMT.

Kini beliau sudah hampir 10 tahun menceburi bidang tersebut.

Menurut Shahril, ketika beliau mula jual perabot terpakai, ada seorang 2 sahaja bukan Bumiputera yang buat perniagaan itu di Klang.

“Sejak 5 tahun lalu, dah ada hampir 20 kedai jual perabot terpakai, banyak diusahakan oleh warga asing,” katanya, sambil menambah bilangan warga asing makin ketara dalam perniagaan perabot terpakai.

“Di kampung kelahiran saya (di Sekinchan) pun ramai warga asing ambil upah kerja di sawah,” kata bapa anak 4 itu.

Katanya, beliau kenal beberapa warga asing yang sangat berjaya dalam perniagaan yang mereka ceburi kerana mereka bersungguh-sungguh.

“Malah, ada yang nikah dengan perempuan Melayu dan melalui isteri mereka, menikmati peluang dan bantuan yang disediakan untuk Bumiputera.

“Banyak peluang dan bantuan, tapi orang kita tak nak,” kata Shahril.

Beliau menambah, apa yang dicapainya kini bukan datang bergolek kerana terdapat cabaran daripada sikap negatif kawan-kawan sendiri.

“Ada yang perli saya kerana buat bisnes perabot terpakai.

“Kata mereka siapa nak beli, tapi saya nekad sahaja”, katanya.

Perniagaan itu membawanya menjelajah negara dari utara, pantai timur dan selatan tanah air untuk menimba ilmu dan mencari peluang baru.

“Seronok saya tengok orang berjaya. Orang Asli yang berniaga barang terpakai di Rengit (Johor) umpamanya, pun hidup selesa, pakai van canggih,” katanya.

Shahril mendapat inspirasi daripada beberapa peniaga barang terpakai bukan Melayu yang sangat berjaya.

“Ada seorang peniaga yang pernah muflis, tapi kini mewah. Saya ada satu kedai, tapi dia ada hampir 10 gudang di merata tempat.

“Pendek kata Boeing terpakai pun dia pernah beli dan jual. Itu yang rajin. Yang malas pun ramai.

“Ada anak Melayu, saya ambil kerja. Nak bagi peluang belajar niaga kalau-kalau satu hari mereka boleh berdikari.

“Tapi tak menjadi semuanya. Ada sahaja alasan mereka, masalah keluargalah, kena balik kampung… Akhirnya saya tak ada pilihan. Ambil pekerja warga asing, belanja sampai RM16,000 untuk visa, itu dan ini.

“Nak buat macam mana, orang kita sendiri tak nak,” katanya yang bercita-cita membesarkan perniagaannya.

Beliau berhasrat menjual perabot baru kerana dikatakan ramai pelanggan.

“Malah, peniaga perabot bukan Bumiputera sendiri bagi tahu saya akhir-akhir ini, orang Melayu lebih cenderung beli di kedai Melayu.

“Mereka rasa perubahan ini mungkin disebabkan suasana baru politik sekarang,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *