Home » Langit Terbuka » Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bukan pengganti OIC – Dr Mahathir

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bukan pengganti OIC – Dr Mahathir

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dianjurkan atas beberapa kebimbangan yang melanda umat Islam dan edisi tahun ini melampaui perbincangan dan perdebatan intelektual, kata Perdana Menteri. - Foto MalayMail

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bermula 18 Disember ini, bukan bertujuan membentuk blok baharu atau untuk menggantikan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perdana Menteri sebaliknya menegaskan sidang kemuncak selama empat hari itu adalah medan perbincangan hal ehwal yang berkaitan dengan orang Islam.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri ingin membetulkan beberapa maklumat yang tidak tepat seperti yang dilaporkan di dalam Pakistan Today yang mendakwa Dr Mahathir menyatakan persidangan itu bagi tujuan menggantikan OIC.

Katanya, Sidang Kemuncak Kuala Lumpur edisi kelima adalah inisiatif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disokong kerajaan Malaysia, bukan satu blok baru seperti yang dikritik beberapa pihak.

Dalam masa sama, persidangan itu bukanlah medan bagi membincangkan mengenai agama atau urusan agama, tetapi khusus untuk menangani pemasalahan yang melanda umat Islam.

“Hari ini, orang Islam berhadapan penindasan; penahanan dan ditempatkan di kem tahanan; perang saudara yang mengakibatkan kemusnahan negara yang membawa kepada penghijrahan besar-besaran umat Islam termasuk ke negara bukan Islam; kebangkitan Islamophobia dan amalan yang tidak rasional bertentangan dengan ajaran Islam yang masih diisytiharkan atas nama Islam,” kata kenyataan itu.

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 dianjurkan atas beberapa kebimbangan yang melanda umat Islam dan edisi tahun ini melampaui perbincangan dan perdebatan intelektual, kerana lebih memfokuskan kepada pencapaian objektif dan pelaksanaan.

Persidangan itu juga dianjurkan atas kesedaran supaya tidak semua isu penting dan objektifnya difokuskan kepada kumpulan yang terlalu besar kerana dikhuatiri sukar dan mungkin gagal dilaksana sebelum ia bermula.

Malah, pemilihan negara-negara utama yang terbabit juga dibuat dengan tujuan khusus, tetapi senarai itu tidak menyeluruh apabila inisiatif itu dilaksanakan nanti.

Sidang Kemuncak ini cuba mencetuskan pendekatan baru dalam kerjasama ummah dan jika ia mampu mencapai sesuatu maka ia akan dapat dikemukakan kepada kumpulan Islam yang lebih besar membabitkan lebih banyak negara Islam bagi menilai sama ada inisiatif yang dicapai nanti dapat dilaksanakan untuk skala lebih meluas.

Pada sidang kemuncak itu nanti, hanya beberapa pemimpin negara mengambil bahagian tetapi Malaysia menjemput semua 56 negara Islam yang diwakili pelbagai peringkat pemimpin.

Sebagai negara kecil, Malaysia sedar akan batasan dan keupayaannya. Justeru, Malaysia cuba menyumbang apa yang mampu untuk memperbaiki kebaikan ummah dan berdoa inisiatif itu diberkati Allah.

Kenyataan itu juga memaklumkan, Dr Mahathir mendapat panggilan daripada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan semalam yang menyatakan kekesalannya kerana tidak dapat menghadiri persidangan edisi kelima itu.

Bagaimanapun, Imran memaklumkan beberapa pemimpin Pakistan dijangka bercakap dan berkongsi pandangan mengenai keadaan dunia Islam di persidangan itu nanti. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *