Home » Langit Terbuka » Singapura buka masjid bermula 2 Jun

Singapura buka masjid bermula 2 Jun

Meskipun dibuka semula, masjid di Singapura akan mengehadkan ruang untuk kegunaan orang awam dan mengutamakan keperluan petugas perkhidmatan penting. - Foto Republika.com

SINGAPURA – Kebanyakan masjid di Singapura akan dibuka secara berperingkat bermula 2 Jun, bagaimanapun solat berjemaah dan solat Jumaat masih tidak dibenarkan.

Langkah pemutus rantaian lebih ketat yang dikuatkuasakan oleh republik ini bermula 7 April lepas bagi mengekang penularan wabak Covid-19 akan berakhir pada 1 Jun.

Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), masjid akan mengehadkan ruang untuk kegunaan orang awam dan mengutamakan keperluan petugas perkhidmatan penting.

Selain itu, 68 masjid akan mengehadkan waktu operasi dari 1 tengah hari hingga 6 petang selama 6 hari sehingga 7 Jun, manakala bermula 8 Jun, kebanyakan masjid akan membenarkan solat secara berseorangan untuk kesemua 5 waktu solat.

Dalam kenyataannya, MUIS berkata, seiring garis panduan kebangsaan, 5 zon solat akan diwujudkan dengan setiap zon dapat memuatkan sehingga 5 individu daripada sebuah isi rumah.

Berikutan ruang solat yang terhad, MUIS menggesa agar keutamaan diberi kepada pekerja perkhidmatan penting yang tidak dapat menunaikan solat di tempat kerja disebabkan tuntutan pekerjaan.

“Ini termasuk pemandu perkhidmatan penghantaran serta pemandu kenderaan sewa dan teksi,” katanya.

MUIS turut menasihati masyarakat agar mematuhi langkah pencegahan, termasuk mengenakan pelitup separuh muka, membawa sejadah sendiri serta mengelak daripada berdekatan dengan individu lain ketika di masjid termasuk bersalam.

Kesemua masjid di republik ini ditutup pada 13 Mac lepas. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *