Home » Langit Terbuka » SMA-MAIWP Kuala Lumpur catat peningkatan A dalam SPM

SMA-MAIWP Kuala Lumpur catat peningkatan A dalam SPM

Ketua Pegawai Eksekutif Maiwp berkata, secara keseluruhan tiga buah sekolah mencatatkan 100 peratus lulus dan layak mendapat sijil manakala SMA-MAIWP Labuan mencatatkan 98.81 peratus, meningkat 1.07 peratus berbanding tahun lalu. - Foto Maiwp

KUALA LUMPUR – Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP), di sini mencatatkan peningkatan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 apabila empat daripada 168 calon memperoleh 11A, diikuti 11 calon (10A) dan 13 calon (9A).

Bagaimanapun dari segi Gred Purata Sekolah (GPS), ia menunjukkan penurunan daripada 2.66 kepada 2.74 berbanding tahun lalu manakala bagi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula, lima subjek mencatatkan peningkatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, bagi Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA), sebanyak tiga pelajar mendapat 11A diikuti tiga dan empat pelajar masing-masing mendapat 10A dan 9A.

“Dari segi GPS, ia menunjukkan sedikit penurunan daripada 2.61 kepada 2.76 namun meningkat bagi tujuh daripada 12 subjek yang diambil,” katanya ketika berucap mengumumkan keputusan SPM 2018 bagi Sekolah-Sekolah Menengah Agama MAIWP (SMAM) di SMA MAIWP, hari ini.

Menurut Abdul Aziz, SMA-MAIWP Labuan pula mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali pelajarnya mendapat keputusan 10A sejak 2015 manakala pencapaian GPS meningkat daripada 3.51 kepada 3.30.

“SMA-MAIWP Labuan menyaksikan peningkatan GPMP dalam tujuh daripada 14 subjek yang diduduki.

“Sebuah lagi institusi pendidik di bawah MAIWP adalah Pondok Moden al-’Abaqirah yang mencatatkan dua pelajar mendapat 8A, diikuti 22 (7A) dan 13 (6A).

“GPS pula menunjukkan peningkatan ketara daripada 2.87 kepada 2.06 manakala GPMP meningkat 100 peratus bagi kesemua lapan subjek yang diambil,” katanya.

Secara keseluruhan kata beliau, tiga buah sekolah mencatatkan 100 peratus lulus dan layak mendapat sijil manakala SMA-MAIWP Labuan mencatatkan 98.81 peratus, meningkat 1.07 peratus berbanding tahun lalu.

Seramai 323 calon daripada institusi-institusi pendidikan MAIWP menduduki SPM pada tahun lalu yang mana daripada jumlah itu seramai 168 calon dari SMA-MAIWP Kuala Lumpur, diikuti SMISTA (54), SMA-MAIWP Labuan (41) dan Pondok Moden al-’ABaqirah (60). – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *