Home » Persuasif » Solat berjemaah lambang kekuatan Muslim

Solat berjemaah lambang kekuatan Muslim

Oleh WAN AHMAD FUAD WAN AHMAD KAMIL
Apakah maksud jemaah? Jemaah bermaksud himpunan manusia atau satu kumpulan orang. Jemaah melambangkan penyatuan hati dan keteguhan hubungan antara ahli kumpulan tersebut. Manusia yang hidup berkumpulan dan berjemaah ialah manusia yang hidup dalam satu kumpulan, bersama-sama melakukan satu aktiviti dan berusaha menghadapinya. Islam menggalakkan umatnya untuk hidup secara berkumpulan dan bukannya berseorangan seperti kera sumbang. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Maka wajiblah ke atas kamu berjemaah kerana sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang jauh daripada kumpulannya” (HR al-Nasa’i).
Manusia digalakkan hidup secara berkumpulan dan bukannya berseorangan kerana manusia ini diciptakan Allah SWT dalam pelbagai rupa dan keturunan untuk bertegur sapa dan bergaul mesra. Firman Allah SWT di dalam al-Quran maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)” (al-Hujurat:13).

Adalah tidak patut untuk kita hidup secara bersendirian sedangkan Allah SWT sebagai pencipta menyuruh kita untuk hidup berkenal-kenalan dan bergaul mesra dengan manusia lain. Manusia perlu untuk bertegur sapa dan bergaul mesra kerana dalam kehidupan kita memerlukan bantuan dari orang sekeliling dalam pelbagai hal seperti hal kejiranan, tolong-menolong dalam isu biasa seperti membantu apabila kereta rosak, menolong jiran untuk menjaga rumah, melawat apabila ada kematian di kawasan kejiranan, menegur dan bertukar juadah sesama kawan, dan sebagainya. Amalan hidup berkumpulan yang paling mudah untuk dipraktikkan di dalam kehidupan seorang Muslim ialah menunaikan solat fardu secara berjemaah.

Fadilat Solat Berjemaah
Solat berjemaah merupakan salah satu tuntutan penting ke atas orang Islam, terutamanya kaum Muslimin. Jika solat itu diwajibkan untuk kepada setiap Muslim, maka solat berjemaah pula seakan bonus berganda untuk Muslim. Muslim yang menunaikan solat berjemaah dijanjikan pahala yang berlipat ganda (27 kali ganda) oleh Allah SWT berbanding solat secara bersendirian. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (HR al-Bukhari dan Muslim)
Solat berjemaah membolehkan seorang Muslim itu untuk bertemu, berkomunikasi dan berhubung dengan sesama Muslim di masjid, surau ataupun musolla. Solat berjemaah juga membolehkan seorang Muslim itu menghargai nikmat persaudaraan atau ukhuwah yang dipraktikkan di dalam Islam. Bayangkan satu situasi seorang pekerja atau pegawai eksekutif di sebuah kilang/syarikat. Bermula waktu pagi pekerja ini akan memulakan tugasnya, dengan kesibukan yang pelbagai seperti mengangkat barang, membaiki mesin, membuat laporan atau kertas kerja, mesyuarat yang tidak pernah henti dan macam-macam lagi. Ditambah pula dengan pelbagai arahan dan suruhan, cacian dan makian, umpatan dan adu domba yang masuk ke halwa telinga sedari pagi. Kesibukan ini sememangnya meletihkan jiwa, minda dan fizikal seorang manusia selepas mengharunginya. Lantas bagaimana untuk pekerja ini menyalurkan segala kepenatan dan keletihan yang dihadapinya sejak pagi tadi? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan menunaikan solat berjemaah.

Di surau atau musolla, pekerja ini akan menunaikan solat berjemaah mengikut imam. Tiada  umpatan, arahan, cacian dan pelbagai lagi perkara negatif yang wujud di tempat kerja tadi yang boleh merosakkan hatinya. Yang ada hanyalah satu ungkapan yang didengari sewaktu solat; Allahu akbar (Allah Maha Besar) yang diungkapkan oleh imam. Ditambah dengan pergerakan semua orang yang melakukan pergerakan yang sama dan synchronization yang sama, menimbulkan ketenangan dan kedamaian di hati. Analoginya kalau berada tempat kerja tadi dianggap sebagai medan perang, maka solat berjemaah di musolla atau masjid seperti di taman yang penuh kerehatan dan kedamaian.

Antara hadis lain berkenaan solat berjemaah ini ialah sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Saidina Uthman bin ‘Affan RA meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda: ‘Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam” (HR Muslim).

Dalam satu hadis yang lain daripada Rasulullah SAW berkenaan solat jemaah: “Demi yang jiwaku ada ditangan-Nya, sungguh aku telah berniat kuat untuk memerintahkan agar dikumpulkan kayu bakar kemudian aku perintahkan solat dan dikumandangkan azan untuk solat, kemudian aku perintah seseorang untuk mengimami manusia dan aku akan mendatangi orang-orang yang tidak menghadiri solat maka akan aku bakar rumah-rumah mereka. Demi yang jiwaku ada di tangan-Nya, seandainya salah seorang dari mereka mengetahui bahawa dia akan mendapatkan sekerat daging atau dua rusuk kambing yang bagus pasti dia akan menghadiri solat isyak ” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dari lafaz Imam Bukhari).

Banyak kelebihan solat berjemaah ini jika diperhatikan secara menyeluruh, sama ada secara dalaman atau luaran. Akan tetapi umat Islam gagal menjadikan solat berjemaah sebagai satu wadah amalan utama dalam kehidupan, sekali gus menggagalkan usaha umat Islam untuk menjadi satu umat yang kuat dan bersatu padu.

Lambang Perpaduan Umat

Bagaimana untuk kita melihat satu kumpulan itu kuat dan kukuh ikatan antara ahlinya? Sudah pasti dengan melihat kesepakatan dan hubungan rapat antara ahli-ahlinya. Begitu juga Islam. Saban hari, kita membaca berita di media massa ataupun media sosial bahawa umat Islam sering bertelagah sesama sendiri, berebut kuasa antara satu sama lain, tidak menolong sesama agama kerana perbezaan bangsa dan kaum, dan pelbagai lagi masalah yang sudah tentu merosakkan imej Islam dan umat Islam di mata dunia, terutamanya di kalangan penganut lain. Solat berjemaah ialah salah satu kaedah paling ampuh dan senang untuk mengumpulkan umat Islam daripada pelbagai bangsa, kaum, jantina yang mempunyai latar belakang yang berbeza untuk berkumpul bersama, berdiri bersama dan menyembah Tuhan yang Satu bersama-sama.

Jika masyarakat lain melihat apabila dilaungkan azan untuk memanggil umat Islam menunaikan solat, dan umat Islam bergegas pergi ke masjid atau surau beramai-ramai untuk menyahut seruan itu, sudah pasti akan timbul satu kegerunan dan kekaguman di dalam hati mereka bahawa umat Islam ini bersatu padu dalam menunjukkan ketaatan kepada Allah SWT. Nah, ini ialah gambaran yang diberikan oleh Islam dan sepatutnya dipraktikkan oleh umat Islam di seluruh dunia. Akan tetapi sayangnya hanya sedikit umat Islam yang menunaikan solat, apatah lagi menunaikan solat secara berjemaah. Kalau kita tengok dan perhatikan di masjid serta surau, majoriti yang memenuhi masjid hanyalah golongan veteran, tua dan kelas pertengahan (umur 40-50 tahun).

Mana hendak dicari umat Islam lain yang muda dan gagah perkasa? Mereka itu boleh ditemui di kedai mamak, kedai makan, gymnasium, padang bola, stadium sukan, kelab-kelab malam, pub, shopping complex dan juga di pusat serenti serta penjara. Dan sayangnya mereka inilah yang bakal mentadbir negara satu masa nanti. Masjid-masjid dan surau dibiarkan kosong tanpa dihadiri oleh mereka. Bagaimana masyarakat lain yang bukan Islam boleh yakin dengan Islam jika kita sendiri sebagai umat Islam gagal untuk menghidupkan dan menyatupadukan penganut Islam itu sendiri? Bahkan di sini dapat dilihat bahawa lemahnya kesatuan dan perpaduan umat Islam kerana suruhan agama yang penting seperti solat berjemaah pun tidak dapat ditunaikan. Memetik kata-kata Sayid Qutb, seorang pemikir dan tokoh pembaharu Islam daripada Mesir: “Aku pergi ke Perancis dan aku melihat tiada Muslim tetapi Islam dipraktikkan, dan aku pulang ke Mesir aku melihat ada Muslim tetapi tidak dipraktikkan Islam.”

Cara Memupuk Sikap

Apa sebenarnya cara untuk kita memupuk sikap selalu menunaikan solat berjemaah ini di dalam jiwa dan sanubari umat Islam seluruh dunia? Antara cadangan yang boleh dilakukan ialah:

  1. Bapa sendiri mempraktikkan amalan solat berjemaah apabila tiba waktu solat
  2. Bapa mengajak anak-anak pergi bersamanya menunaikan solat berjemaah apabila masuk waktu solat
  3. Ibu dan ayah mendidik anak-anak akan kepentingan dan kewajipan menunaikan solat berjemaah (terutamanya kepada anak-anak lelaki).
  4. Ibu menggalakkan dan menyuruh anak-anak lelaki pergi menunaikan solat di masjid dan surau apabila masuk waktu.
  5. Memasang ceramah atau kuliah agama Islam yang membicarakan mengenai solat berjemaah kepada ahli keluarga
  6. Membeli buku-buku berkenaan solat berjemaah untuk dibaca dan dijadikan rujukan ahli keluarga.
  7. Mengajar anak-anak untuk bersolat di masjid dan surau dengan memberi upah (pada awal-awal suruhan) agar jiwa anak-anak dekat dan cenderung untuk ke masjid dan surau.

Sebenarnya dalam membicarakan isu ini, ayah sebagai ketua keluarga ialah orang yang sangat memainkan peranan untuk mendidik ahli keluarga agar sentiasa menunaikan solat berjemaah. Peranan ayah (atau ibu bagi keluarga yang tiada ayah) adalah sangat penting dalam mendidik anak-anak. Pepatah Melayu ada menyebut: “Bapa borek anak rintik”. Bagaimana untuk seorang anak akan mengamalkan tuntutan solat berjemaah jika dilihat ayahnya sendiri malas dan culas pergi ke masjid? Pasti timbul persoalan seperti: “Ayah aku tak buat pun, buat apa aku kena buat?” di dalam hati anak yang melihat ayahnya sendiri tidak menunaikan solat berjemaah.

Sememangnya umat Islam perlu kembali kepada zaman di mana solat berjemaah merupakan salah satu tuntutan utama yang menjadi amalan rasmi umat Islam. Apabila masuk waktu sahaja, semua berlarian untuk menunaikan solat berjemaah. Tertinggal satu waktu berjemaah merupakan kerugian yang besar bagi umat Islam. Marilah sama-sama kita tunjukkan kekuatan perpaduan umat Islam dan kesefahaman yang kita miliki berteraskan Allah SWT melalui pengamalan solat berjemaah.- MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *