Home » Langit Terbuka » Stoking kalimah Allah: JAKIM panggil pengasas KK Mart, beri amaran keras

Stoking kalimah Allah: JAKIM panggil pengasas KK Mart, beri amaran keras

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberi amaran keras kepada Pengasas KK Super Mart Datuk Seri Dr KK Chai agar isu penjualan stoking tertulis kalimah Allah, tidak berulang lagi.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah memanggil KK Chai semalam (18 Mac) serta mendengar penjelasan syarikatnya berhubung kejadian dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpamanya berulang.

“Pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula Prosedur Operasi Standard syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, JAKIM turut menyokong tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap kejadian yang menyentuh sensitiviti umat Islam itu.

Katanya, JAKIM sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat persekutuan memandang serius terhadap isu itu kerana telah mengguris hati umat Islam selain melibatkan sensitiviti keagamaan dan menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

“JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

“Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.—AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *