Home » Langit Terbuka » Sultan Abdullah dimasyhurkan Sultan Pahang ke-6

Sultan Abdullah dimasyhurkan Sultan Pahang ke-6

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baru, melayakkan baginda dalam senarai pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16. - Foto Bernama

PEKAN – Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang ke-6 menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Pemasyhuran penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar diumumkan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membacakan Pengisyitiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

“Maka, dengan ini dimasyhurkan bagi pengetahuan orang ramai bahawa Jumaah Pangkuan Negeri kali ke-110 yang bermesyuarat pada 11 Januari 2019 dan mengikut hukum syarak bersetuju memilih, melantik dan memasyhurkan Tengku Mahkota, Tengku Abdullah menjadi raja pemerintah yang menaiki takhta Pahang dan segala jajahan takluknya bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuatkuasa 11 Januari 2019.

“Maka yang demikian, ketahuilah pada semua yang hadir, seluruh rakyat Pahang dan semua orang supaya mengambil maklum dan menjunjung taat setia kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.”

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baru hari ini melayakkan baginda dalam senarai pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Mesyuarat khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Agong baru, berikutan peletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Agong ke-15 pada 6 Januari lalu, akan diadakan pada 24 Januari ini di Istana Negara.

Mengikut konvensyen penggiliran senarai 9 negeri beraja, turutan negeri dalam pusingan pertama sistem penggiliran ini sejak 1957 ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.

Pada istiadat pemasyhuran itu, selesai membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja, Tengku Abdul Rahman mempersembahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Raja kepada Sultan Abdullah.

Orang Kaya Indera Pahlawan kemudiannya dititah menghadap sebelum menyembahkan Titah Ikrar kepada Sultan Abdullah, 59, yang sejurus itu menyempurnakan ikrar berkenaan.

Sultan Abdullah yang berbaju Melayu tenun Pahang berwarna kuning diraja, kemudiannya melafazkan sumpah sebagai sultan dan raja pemerintah bagi Pahang dan dan segala jajahan takluknya.

“Bahawa beta dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku dan taat setia bagi menjalankan dengan adil dan amanah pemerintahan bagi negeri Pahang dan segala jajahan takluknya mengikut sebagaimana undang-undang tubuh jajahan Pahang yang telah dan akan disahkan serta dimasyhurkan dari semasa ke semasa,” titah baginda.

Sultan Abdullah berikrar dan mengaku akan bersungguh-sungguh memelihara dan mempertahankan kesucian agama Islam, keamanan dan kesejahteraan rakyat serta Pahang setiap masa.

Selepas Sultan Abdullah menyempurnakan Titah Ikrar, ungkapan takbir “Allahuakhbar” dilaungkan 3 kali, diikuti laungan “Daulat Tuanku” sebanyak 3 kali.

Sultan Abdullah yang diputerakan di Istana Mangga Tunggal, Pekan, pada 30 Julai 1959 merupakan cahaya mata ke-4 dan putera sulung Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Sebelum dilantik menjadi raja pemerintah negeri ini, Sultan Abdullah 2 kali diamanahkan menjadi pemangku Raja Pahang, iaitu kali pertama pada 28 April 1979 semasa Sultan Ahmad Shah menjadi Agong le-7 dan kali ke-2 pada 28 Disember 2016 semasa kesihatan Sultan Ahmad Shah mula merosot.

Istiadat pemasyhuran diadakan tepat 11 pagi dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah yang diiringi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda berdua berangkat dari Istana Mahligai Mahkota kira-kira 1km dari Istana Abu Bakar dengan menaiki kereta Bentley berwarna hitam.

Turut mengiringi baginda berdua, Tengku Abdul Rahman dan Cik Puan Muda Pahang, Julita Aishah Abdul Latiff dan Tengku Ariff Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mua’dzam Shah.

Perarakan masuk ke Balairung Seri dengan 7 pembawa cogan kerajaan, pedang terhunus, pedang kerajaan dan keris kerajaan.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudian bersemayam di atas singgahsana sebelum lagu “Allah Selamatkan Sultan” dimainkan dan sejurus lagu itu dimainkan, Timbalan Datuk Paduka Maharajalela menghadap memohon perkenan untuk memulakan istiadat pemasyhuran.

Tengku Muda Pahang mewakili Kerabat Bergelar, ahli Jumaah Pangkuan Diraja, kerabat dan orang-orang besar Pahang membaca perutusan taat setia dan diikuti persembahan ucapan sembah ikrar taat setia oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mewakili exco, wakil rakyat, pegawai kerajaan, badan berkanun dan rakyat Pahang.

Kemuncak istiadat, Sultan Abdullah menyampaikan titah diraja sempena pemasyhuran baginda.

Sejurus itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Othman membacakan doa dengan diiringi Kadi Daerah Kuantan, Abdul Zaki Md Zain dan Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan.

Selesai istiadat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan Balairung Seri.

Sultan Abdullah mendirikan mahligai dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986. Baginda dikurniakan 4 putera dan 5 puteri. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *