Home » Langit Terbuka » Sultan dukacita nazir masjid ingkar titah

Sultan dukacita nazir masjid ingkar titah

KLANG 30 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan rasa dukacita terhadap sikap sesetengah nazir masjid yang ingkar dengan titah baginda supaya tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini untuk tujuan politik.

Baginda ketika bertitah dalam perasmian Masjid Kampung Johan Setia di sini hari ini menegaskan bahawa keingkaran nazir-nazir terbabit terhadap titah tersebut merupakan satu perkara yang serius dan memerlukan tindakan susulan diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

‘‘Beta telah dimaklumkan baru-baru ini terdapat ahli politik menggunakan masjid di Selangor untuk menjalankan aktiviti mereka di dalam masjid. Apa yang le­bih mendukacitakan lagi ialah ahli politik yang berkenaan bukannya beragama Islam.

‘‘Ini secara terang-terangan telah menyalahgunakan institusi masjid untuk faedah ahli politik yang berkenaan. Justeru, beta memandang serius perkara ini dan menitahkan supaya pihak JAIS untuk meneliti, menyiasat dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam perkara ini.

‘‘Jika perlu, perkhidmatan nazir yang berkenaan hendaklah ditamatkan dan ditukar kepada orang lain,’’ tegas baginda dalam majlis tersebut yang turut disaksikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa; Pe­ngarah JAIS, Datuk Haris Kasim dan Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid.

Meskipun tidak menamakan ahli politik terbabit, titah tuanku itu dipercayai merujuk tindakan Ahli Parlimen Selayang daripada PKR, William Leong Jee Ken yang dilaporkan memasuki dan berucap di dewan solat Masjid Al-Muttaqin, Selayang Pandang sempena majlis tadarus al-Quran di masjid itu, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, baginda dalam majlis tersebut turut menyeru seluruh rakyat, khususnya di Selangor supaya tidak terpengaruh dengan fitnah-fitnah yang mempertikaikan kewibawaan institusi zakat negeri ini yang disebarkan menerusi media-media sosial.

Sebaliknya, baginda mene­gaskan Lembaga Zakat Selangor yang diamanahkan mengutip dan mengagihkan zakat adalah sebuah agensi yang telus, selain bidang kuasanya yang tertakluk melalui Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

‘‘Pengurusan zakat di Selangor yang dikendalikan oleh Lembaga Zakat Selangor telah terbukti berkesan dan diakui oleh negara-negara luar dan banyak pihak luar telah mempelajari mengenai pe­ngurusan kutipan dan agihan zakat di negeri Selangor.

‘‘Beta mengingatkan umat Islam bahawa mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, aktiviti mengutip zakat tanpa kebenaran daripada Lembaga Zakat Selangor adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman,’’ titah baginda.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *