Home » Lagenda » Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga

Sunan Kalijaga (salah seorang Wali Songo yang terkenal) adalah seorang ulama yang sangat bijak di dalam menganalisis masalah dakwah. Ketika beliau melihat masyarakat Jawa menyukai wayang kulit, beliau tidak melarang, atau membiarkan situasi itu begitu saja. Malah beliau menerima baik pendapat dan kepercayaan budaya setempat. Beliau percaya, usaha dakwah akan menjadi sia-sia, jika budaya dan kepercayaan masyarakat yang ingin ditarbiahkan itu tidak cuba difahami apatah lagi diperlekehkan.

Baginya, usaha dakwah yang baik seharusnya dimulai dengan mendekati golongan sasaran secara bertahap – mengikut dan dalam masa yang sama mempengaruhi. Beliau percaya dan yakin bahawa jika ajaran Islam sudah dapat difahami, dengan sendirinya kebiasaan itu (budaya dan kepercayaan yang menyimpang dari syarak) akan hilang. Walau fasih berbahasa Arab, beliau tidak menggunakannya tetapi menggunakan bahasa tempatan dalam menyampaikan dakwahnya kerana mengambil kira masyarakat setempatnya iaitu masyarakat Jawa.

Melihatkan keadaan masyarakat pada masa itu, beliau menjadikan kegemaran mereka sebagai inspirasi gerakan dakwahnya. Budaya wayang kulit dijadikan wadah penyebaran dakwah dengan diselitkan dengan ajaran agama Islam dan nama-nama pahlawan Islam walaupun sebahagian jalan penceritaan wayang kulitnya masih berkisar daripada cerita Dewa-dewa Hindu iaitu Mahabratha dan Ramayana. Selain wayang kulit, beliau juga menggunakan seni ukir dan gamelan sebagai sarana dakwahnya. Beberapa lagu suluk (nyanyian dalam pertunjukan wayang kulit) ciptaannya yang terkenal adalah Lir-ilir dan Gundul-gundul Pacul.

Kaedah yang digunakan terbukti menemui kejayaan. Sebahagian besar penduduk di tanah Jawa telah berjaya diIslamkan. Pendekatan budaya dan kesenian setempat telah membuatkan Islam berkembang pesat hingga ke pelosok nusantara. Sebahagian besar pembesar di Kepulauan Jawa telah memeluk Islam kerana dakwah Sunan Kalijaga.
Dikatakan lahir pada tahun 1450 dengan nama Raden Said. Sunan Kalijaga adalah anak kepada pembesar Tuban yang bernama Tumenggung Wilwatikta atau Raden Sahur. Nama lain Sunan Kalijaga adalah Lokajaya, Syeikh Malaya, Pangeran Tuban, dan Raden Abdurrahman. Sunan Kalijaga wafat pada pertengahan abad ke-15 dan dimakamkan di Kadilangu, selatan Demak, Jawa Tengah.

(Lagu lir-ilir ini mempunyai makna yang mendalam selain mengandung unsur-unsur ajakan agar kembali kepada Allah, sentiasa mengingat dan memohon keampunan Allah, selain menahan hawa nafsu supaya tidak terjerumus ke lembah yang tidak diredai-Nya. Ia juga sebagai ingatan agar sentiasa berbuat baik dan tidak melalaikan amalan penting terutamanya mengucap dua kalimah syahadah, mengerjakan solat, haji, puasa dan membayar zakat sebagai bekalan diakhirat kelak).

Lir Ilir
Lir-ilir, Lir Ilir (Sayup sayup terbangun)
Tandure wus sumilir (Pohon sudah mulai bersemi)
Tak ijo royo-royo (Demikian menghijau)
Tak sengguh temanten anyar (Bagaikan ghairah pengantin baru)

Cah angon, cah angon (Anak pengembala)
Penekno blimbing kuwi (Tolong panjatkan pohon belimbing itu)
Lunyu-lunyu penekno (Walau licin tetaplah dipanjat)
Kanggo mbasuh dodotiro (Untuk membasuh pakaianmu)

Dodotiro dodotiro (Pakaianmu Pakaianmu)
Kumitir bedah ing pinggir (Terkoyak-koyak di bahagian samping)
Dondomono, jlumatono (Jahitlah, baikilah)
Kanggo sebo mengko sore (Untuk menghadap petang nanti)

Mumpung padhang rembulane (Sementara bulan masih terang)
Mumpung jembar kalangane (Sementara ruang masih lapang)
Yo surako surak Iyo!!! (Mari bersorak-sorak iya) – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Jelajah Seminar Kenegaraan Madani

YADIM Negeri Selangor dengan Kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 17 April memulakan penganjuran Jelajah Seminar Kenegaraan Madani untuk

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *