Home » Wacana » Surah al-Mulk: Keagungan kerajaan Tuhan

Surah al-Mulk: Keagungan kerajaan Tuhan

Oleh AMIZA KHUSYRI YUSOF

Surah al-Mulk merupakan surah yang diturunkan di Mekah (makkiyah) dan mempunyai tiga puluh ayat. Surah ini akan memohon syafaat bagi pembacanya sehingga dosa pembacanya diampuni berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Ada satu surah dalam al-Quran yang berjumlah tiga puluh ayat di mana surah tersebut akan memintakan syafaat bagi pembacanya hingga dia diampuni. Surah itu adalah ‘tabarakallazi biyadihil mulk’.” (HR al-Tirmidzi, hadis ini hasan).

Dalam hadis yang lain, surah ini menjadi penghalang dari seksa atau azab kubur. Malah jika surah ini dibaca pada setiap malam, maka akan menghindarkan pembacanya dari seksa kubur dan dinamakan dengan ‘al-Mani‘ah’. Abdullah bin Mas‘ud berkata: “Barangsiapa membaca surah al-Mulk setiap malam, Allah SWT akan menghindarkannya dari seksa kubur dengan surah tersebut. Pada masa Nabi SAW kami menamakannya dengan al-Mani‘ah (penghalang). Ia adalah surah dalam al-Quran yang jika dibaca setiap malam, maka pembacanya akan mendapatkan banyak kebaikan.” (HR al-Nasa’ie dengan sanad yang baik).

 Tidak ada milik kita

Hakikatnya tiada apa yang menjadi pemilikan kita secara mutlak dalam kehidupan ini. Kita mungkin menyayangi seseorang, tetapi bukan bermakna memilikinya. Seorang isteri menyayangi suaminya atau seorang suami menyayangi isterinya tetapi tidak boleh untuk memiliki. Tiada istilah ‘engkau milikku’ atau ‘aku milikmu’ kerana hakikat pemilikan yang mutlak hanyalah di sisi Allah SWT.

Setiap yang bernama makhluk pasti akan menemui mati dan tiada yang akan kekal pada pandangan mata dan indera melainkan keberadaan di sisi Allah kelak. Justeru, jika kita beranggapan dengan menyayangi seseorang bererti memilikinya, maka pasti kita akan menyesal dan kecewa kerana hakikatnya tiada yang kekal berada di sisi kita, semuanya akan hilang dan pergi meninggalkan.

Allah juga memiliki segala kerajaan dan pemerintahan. Ayat ini sebagai isyarat kepada yang memiliki kekuasaan bahawa kekuasaan Allah itu mengatasi segala-galanya. Seorang pemerintah tidak akan kekal memerintah, pasti suatu hari nanti akan tamat tempoh pemerintahannya. Sehebat mana pun seorang pemerintah dan sebuah kerajaan itu pasti tidak sempurna dan punya cacat-cela di sana-sini. Namun, pemerintahan dan kerajaan Allah itu sentiasa sempurna dan tiada cacat-celanya.

Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).” (al-Mulk: 3 – 4).

Ayat ini secara jelas menggambarkan kehampaan yang akan dialami oleh manusia yang cuba mencari kecacatan atau kelemahan pada penciptaan Allah SWT. Pencarian yang penuh teliti dan bersungguh-sungguh juga tidak akan mampu menjumpai kekurangan dan kecapikan pada penciptaan-Nya yang sempurna. Hamka mengatakan dari sekecil-kecil pemilikan hingga sebesar-besarnya, adalah pemilikan Allah secara mutlak.

 Hidup dan mati adalah ujian

Allah menjadikan hidup dan mati sebagai ujian bagi manusia. Ujian demi ujian yang diberikan sebagai saringan untuk melihat siapakah yang terbaik amalannya dalam kalangan manusia.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (al-Mulk: 2).

Ayat ini secara jelas memberi penekanan terhadap amalan yang terbaik bukan amalan yang terbanyak. Penekanan perlu diberikan terhadap amalan berkualiti yang dilaksanakan dengan ilmu dan keyakinan bukan amalan berkuantiti dengan keraguan dan kejahilan. Namun, keampunan Allah sentiasa terbuka terhadap kekhilafan yang dilakukan oleh seorang hamba yang memohon keampunan. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa kekuasaan Allah dengan nama al-‘Aziz itu merangkumi pengampunan dan kasih sayang terhadap hamba-hamba-Nya yang bertaubat.

Sebagai hamba-Nya yang beriman maka menjadi tanggungjawab kita untuk berusaha melakukan sesuatu amalan dengan berkualiti. Jika dalam ibadah, kita dituntut untuk khusyuk dan fokus pada setiap rukun dan syaratnya supaya ibadah tersebut menjadi sempurna. Solat menjadi ibadah asas yang perlu dilakukan secara berkualiti, signifikan dengan pensyariatan solat yang diwahyukan oleh Allah kepada Rasulullah SAW secara langsung tanpa perantaraan Jibril dalam peristiwa Isra’ wal Mi‘raj. Solat yang dilakukan dengan berkualiti, akan dijamin kejayaan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (al-Mukminun: 1-2).

Dalam merealisasikan tugas khalifah, salah satu dari ciri-ciri berkualiti itu juga adalah bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan, seiring dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah suka kepada seseorang yang apabila dia bekerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh.” (HR al-Tabrani) .

Apa yang paling penting tentang kualiti ini adalah kualiti yang bersifat internal dan bukan eksternal semata-mata. Kualiti internal inilah yang disebut sebagai kualiti iman yang perlu dihitung oleh setiap Muslim. Tanpa ikhtiar untuk memastikan konsistensi iman berada pada tahap yang mantap maka akan memberi impak pada kualiti praktikal dan amalan. Iman yang kukuh akan membakar keinginan (burning desire) seseorang untuk melakukan sesuatu.

Justeru, surah ini telah menghantar pesanan kepada kita semua tentang pentingnya mengukuhkan keimanan dengan selalu mengenangkan keperkasaan, kehalusan dan kebesaran Allah, Tuhan yang memiliki seluruh alam ini. Iman akan menghasilkan amal yang berkualiti dan Allah menyuruh hamba-Nya untuk melihat keagungan kerajaan-Nya yang menjadikan seluruh makhluk dan membentangkan kepada kita semua tentang sikap orang yang menyesal atas kesombongan mereka semasa di dunia kerana tidak mahu memerhatikan ayat dan petunjuk-Nya.

Mereka menjawab: ‘Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): ‘Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!

Dan mereka berkata: ‘Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka.” (al-Mulk: 9-10). – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *