Home » Langit Terbuka » Syarat ketat jemaah haji

Syarat ketat jemaah haji

Pihak berkuasa Arab Saudi akan meletakkan beberapa pusat pemeriksaan di setiap pintu masuk lokasi utama dengan suhu jemaah akan diambil untuk musim haji tahun ini. - Foto FB

Riyadh – Arab Saudi mengeluarkan garis panduan penjagaan dan keselamatan untuk mengekang penularan Covid-19 pada musim haji tahun ini.

Garis panduan terbaharu itu juga mengarahkan jemaah tidak dibenarkan untuk menyentuh Kaabah dan perlu memakai pelitup muka sepanjang menjalani ibadat itu.

Menerusi garis panduan yang dikeluarkan pada Isnin oleh Kementerian Kesihatan negara berkenaan, pihak berkuasa juga akan meletakkan beberapa pusat pemeriksaan di setiap pintu masuk lokasi utama dengan suhu jemaah akan diambil.

Mereka yang mempunyai simptom Covid-19 termasuk deman, sesak nafas selain hilang deria bau dan rasa, batuk serta selesa akan diasingkan selain hanya akan dibenarkan untuk meneruskan ibadat selepas disahkan sihat sepenuhnya.

Riyadh membuat keputusan drastik bulan lalu apabila mengehadkan kuota haji hanya untuk mereka yang tinggal di negara berkenaan dengan 10,000 jemaah saja dibenarkan berbanding 2.4 juta tahun lalu.

Negara itu juga menangguhkan ibadat umrah.

Kementerian juga memaklumkan, jemaah tahun ini akan diasingkan mengikut kumpulan kecil untuk ke Masjidilharam untuk memastikan penjarakan sosial termasuk ketika tawaf.

Garis panduan itu juga menghalang daripada jemaah membawa makanan ke tempat ibadat dan semua lokasi akan disanitasi lebih kerap.

Selain itu, jemaah yang ingin melaksanakan ibadat masih dibenarkan dengan syarat penjarakan sosial perlu diamalkan dan ia akan dipantau.

Setakat ini, Arab Saudi mencatatkan 217,108 kes dengan 2,017 kematian manakala 154,839 disahkan sembuh daripada wabak yang mula merebak sejak akhir tahun lalu. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *