Home » Wacana » Syawal Pengukur Kejayaan Ramadan

Syawal Pengukur Kejayaan Ramadan

Madrasah Ramadan yang kita bina akan dinilai keberhasilannya pada bulan Syawal ini. - Foto Salaam.com

Allahuakbar,Allahuakbar,Allahuakbar Walillahhillam. Alhamdulilah tanggal 5 Jun 2019 kita telahpun meraikan hari kemenangan bagi umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri yang bermaksud kembali kepada fitrah. Masih belum terlambat untuk penulis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada seluruh umat Islam. Semoga Allah SWT menerima segala amalan yang telah kita lakukan.

Dalam kegembiraan kita menyambut hari raya jangan pula kita lupa akan segala amalan dan tarbiah Ramadan yang kita lakukan selama sebulan. Madrasah Ramadan yang kita bina akan dinilai keberhasilannya pada bulan Syawal ini. Pada bulan inilah kita akan lihat sama ada kita masih boleh istiqamah dengan segala yang dilakukan pada bulan Ramadan.

Ramai dikalangan kita melakukan ibadah sebanyak mungkin dalam bulan Ramadan sehingga menggelar Ramadan sebagai bulan ibadah namun setelah Ramadan pergi maka ibadahnya juga pergi begitu sahaja. Sebenarnya Ramadan bukanlah bulan ibadah sebaliknya Ramadan ialah bulan menggandakan ibadah. Jika kita memahami perkara itu dengan betul maka kita akan terus istiqamah melakukan ibadah pada bulan-bulan lain walaupun Ramadan sudah berlalu.

Sebagai pesanan kepada diri penulis dan para pembaca, marilah bersama kita meneruskan momentum Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah. Semoga dengan perkara itu boleh meningkatkan keimanan dan mendekatkan kita dengan Allah. Beberapa perkara boleh kita lakukan untuk membuktikan tarbiah Ramadan kita berjaya.

Perkara pertama ialah puasa. Jika kita berjaya puasa selama sebulan Ramadan maka boleh lah kita teruskan rutin tersebut dengan melakukan puasa sunat Isnin dan Khamis atau pun puasa pada ketika bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih  . Perkara ini boleh meneruskan semangat puasa Ramadan yang kita miliki.

Sabda nabi SAW yang bermaksud “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” Riwayat al-Tirmizi (745). Dalam hadith yang lain, nabi SAW juga bersabda Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” Riwayat Abu Daud (2449). Berdasarkan kedua hadith tersebut maka digalakkan ke atas kita untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari putih.

Kedua solat witir. Apabila datangnya Ramadan kita akan melakukan solat sunat tawarih dan disusuli dengan solat sunat witir sebagai penutup. Solat sunat witir ini bukan hanya dilakukan di bulan Ramadan malah perkara tersebut boleh dilakukan di luar Ramadan. Sabda nabi SAW.

“Sesungguhnya Allah telah menambah untuk kalian satu shalat, maka jagalah shalat tersebut. Shalat itu ialah Witir”. HR Ahmad dan dishahîhkan Syaikh al-Albâni dalam Irwa` al-Ghalîl, 2/159].

Untuk membuktikan kita berjaya meneruskan momentum Ramadan kita perlu terus istiqamah melakukan solat sunat witir setiap hari. Jika kita rasa perkara itu berat boleh sahaja melakukannya dengan hanya satu rakaat kerana solat sunat witir itu bilangan rakaatnya ganjil. Kita boleh melakulan satu rakaat atau tiga rakaat mengikut kemampuan kita. Maka tidak ada alasan lagi untuk kita tidak melakukannya.

Akhir sekali membaca Al-quran. Penulis yakin dan percaya, ramai yang berlumba-lumba untuk khatam Al-quran sewaktu bulan Ramadan. Terdapat juga yang khatam sebanyak dua hingga tiga kali dalam bulan tersebut namun apabila Syawal menjelma untuk menghabiskan satu juzu’ pun belum tentu lagi.

Perkara inilah yang perlu kita perbaiki bersama. Jika kita tidak mampu membaca seperti di bulan Ramadan paling kurangpun kita usahakan setiap hari satu muka surat supaya kita tidak putus dengan Al-quran. Sabda nabi SAW. Maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” Riwayat al-Tirmizi (2910).

Kesimpulannya, ibadah bukan hanya perlu dilakukan pada bulan Ramadan. Ibadah perlu dilakukan setiap bulan kerana perkara itu merupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah bertepatan dengan firmannya dalam surah al-Zariyat : 56. “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Semoga kita terus istiqamah dalam melakukan amal kebaikan dan ibadah kepada Allah.

Mohd Zaiful Faizal  Mohamad Hasan                                                                        Pelatih Daie Muda YADIM 2019

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *