Home » Langit Terbuka » Tabayyun dulu sebelum terus sebar tular

Tabayyun dulu sebelum terus sebar tular

Foto: Kosmo

HANYA kerana sebuah video pendek berdurasi enam saat, habis musnah kehidupan seseorang akibat salah faham dan fitnah yang dilemparkan.

Itu terjadi kepada seorang pemandu bas wanita yang difitnah melakukan aksi tidak senonoh bersama seorang lagi pemandu lelaki di bawah syarikat sama.

Video dirakam itu tular sehingga mendapat kecaman sebelum seorang wanita yang juga saksi kejadian tampil membela pemandu wanita berkenaan.

Kali pertama penulis melihat video tersebut, sukar untuk melihat perbuatan sebenar pemandu bas itu ekoran hanya dirakam dari sudut belakang.

Apabila difikirkan berkali-kali, tidak logik sebenarnya untuk seseorang berfikiran waras me­lakukan perbuatan terkutuk itu dalam keadaan jalan sesak serta penumpang ramai.

Namun, itulah hakikatnya hidup di zaman teknologi canggih, apa sahaja akan dilakukan demi mengejar tontonan dan pengikut di media sosial tanpa soal selidik terlebih dahulu.

Pendakwah bebas dan Pencetus Ummah (PU) Syed berkata, perbuatan fitnah adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam, bahkan menepati dosa-dosa besar seperti disebut para ulama.

Ujar Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak Benyahya, apabila mene­rima sesuatu berita, umat Islam perlu tabayyun (menyelidik) serta memastikannya sahih sebelum menyebarkannya.

“Apabila kita dapat berita yang disebarkan, kita kena tabayyun, kita kena selidik terus. Bukannya ‘tibai’ terus. Itu tibaiun (menibai) iaitu benda betul tak betul kita sapu rata.

“Nabi SAW telah memberi pe­ringatan supaya tidak melakukan perbuatan-perbuatan menerima sahaja berita yang sampai kepada kita dan terus kita sebarkan pula kepada orang lain.

“Allah sebut dalam al-Quran, ‘jika datang kepada kamu berita yang dibawa oleh seorang orang fasik, maka tabayyun (selidik) dulu sama ada betul atau tidak perkara-perkara yang dibawa itu’,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, dosa memfitnah melibatkan manusia dengan manusia adalah besar dan perlu minta maaf secara langsung kepada yang difitnah.

“Dosa ini ada manusia dengan Allah, maka kena taubat kepada Allah. Caranya istighfar, bertaubat dan ulang semula perbuatan itu, maka akan selesai.

“Tapi fitnah dengan manusia, kita kena minta maaf dengan mereka, apatah lagi yang ditularkan telah menyebabkan orang yang difitnah itu menghadapi keadaan menyedihkan.

“Kalau dia tidak bersalah, dia telah diaibkan dengan sesuatu yang dia tidak buat. Macam dalam kes pemandu bas ini, difahamkan dia telah dibuang kerja, jadi itu telah menzalimi orang,” katanya.

Jelasnya, banyak dosa yang terjadi dalam fitnah menyebabkan para ulama meletakkan ia satu perbuatan antara dosa-dosa besar yang patut dihindari.

“Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A berkata, ‘tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)’ riwayat Imam al-Bukhari (6056) dan Imam Muslim (105).

“Dalam surah al-Nur ayat 19 pun ada menyebut yang bermaksud ‘sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)’,” katanya. – Kosmo

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *