Home » Analitis » Tabung Haji: Kembalikan Kepercayaan Dengan Tindakan

Tabung Haji: Kembalikan Kepercayaan Dengan Tindakan

Foto: https://themalaysianreserve.com/

Oleh MdZan Saari

Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa YADIM

 

Siasatan isu Tabung Haji seperti sedia maklum sudah melalui satu tempoh yang panjang dengan pelbagai persoalan. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pula membuka ruang untuk perkara-perkara tersebut diteliti dengan lebih menyeluruh.

Kini, laporan itu sudah ada. Syor sudah dikemukakan. Maka perhatian tidak lagi sepatutnya tertumpu kepada apa yang berlaku semata-mata, tetapi kepada apa yang dibuat selepas kita mengetahui apa yang berlaku.

Perkembangan terbaharu Tabung Haji menunjukkan proses itu sedang berjalan. Mereka hampir melengkapkan pelaksanaan 19 daripada 25 syor atau 76 peratus, termasuk langkah memperkukuh tadbir urus, integriti, pengurusan kecairan dan pengurusan risiko institusi itu.

Ini perkembangan yang baik. Tetapi 76 peratus juga bermaksud masih ada 24 peratus yang belum selesai.

Angka itu sebaiknya dilihat sebagai kerja yang masih perlu diteruskan, bukannya pencapaian untuk diraikan dan kemudian dilupakan.

Yang lebih penting selepas ini ialah memastikan baki syor tidak sekadar mempunyai status “sedang dilaksanakan”, tetapi benar-benar diselesaikan dengan hasil yang boleh dinilai. Setiap tindakan susulan perlu mempunyai kejelasan tentang apa yang perlu diperbaiki, siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana keberkesanannya akan dinilai.

Baki syor perlu diselesaikan. Justeru, apa yang sudah dibuat pula perlu dilihat semula dari semasa ke semasa. Adakah perubahan itu benar-benar memperkemas cara Tabung Haji membuat keputusan? Adakah risiko dapat dikesan lebih awal? Adakah kawalan dan semak imbang menjadi lebih berkesan?

Ini juga bermakna proses pembaharuan tidak boleh berhenti apabila semua syor nanti dilaporkan selesai. Pelaksanaan perlu disusuli pemantauan, penilaian dan penambahbaikan berterusan. Institusi yang baik bukan sekadar mempunyai peraturan yang baik, tetapi memastikan peraturan itu benar-benar berfungsi dalam amalan.

Ini soalan-soalan yang mungkin tidak semeriah perbahasan tentang RCI. Namun, bagi pendeposit, inilah sebenarnya yang akhirnya lebih dekat dengan kehidupan mereka.

 

Ramai antara mereka mungkin tidak membaca setiap halaman laporan atau mengikuti setiap perkembangan politik mengenainya. Mereka cuma mahu tahu satu perkara: Tabung Haji yang mereka percayai hari ini, adakah lebih baik daripada semalam?

Mereka juga sudah pasti tidak mahu insiden sakau menyakau kembali lagi selepas ini, jadi penting juga untuk memadam atau mengelak stigma, siapa pun yang memerintah sama sahaja nanti kesudahannya. Ini amat penting untuk dielakkan.

Oleh kerana itu, tindakan susulan amat penting.

Bukan sahaja tindakan perlu dilaksanakan, malah perkembangannya perlu terus diperhatikan. Jika ada kelemahan yang masih wujud, ia perlu diperbetulkan. Jika ada risiko baharu, ia perlu ditangani lebih awal. Dan jika sesuatu pembaharuan didapati tidak mencapai matlamatnya, keberanian untuk menilainya semula juga perlu ada.

Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), pendirian kerajaan mengenai keperluan menambah baik tadbir urus dan melaksanakan susulan terhadap dapatan RCI perlu diterjemahkan sehingga selesai. Ketegasan tidak banyak ertinya jika ia berhenti pada kenyataan.

Apa yang diperlukan sekarang ialah kesinambungan tindakan, daripada syor kepada pelaksanaan, daripada pelaksanaan kepada pemantauan, dan daripada pemantauan kepada penambahbaikan. Di situlah ukuran sebenar kesungguhan terhadap reformasi ini.

Di sinilah gagasan Malaysia MADANI dan MADANI Membantu boleh dilihat dalam bentuk yang lebih praktikal. Bukan pada slogan, tetapi pada kesediaan memperbaiki sesuatu yang perlu diperbaiki, menyelesaikan apa yang masih berbaki dan memastikan manfaatnya kembali kepada rakyat.

Dalam kes Tabung Haji, pembaharuan juga tidak boleh bergantung kepada siapa yang sedang memegang jawatan pada hari ini. Individu boleh berubah. Pengurusan boleh bertukar. Kerajaan juga akhirnya akan berganti.

Oleh itu yang perlu ditinggalkan ialah sistem yang lebih baik daripada sistem yang kita warisi. Sistem yang mempunyai kawalan, kepakaran dan disiplin yang cukup untuk terus berjalan dengan baik tanpa terlalu bergantung kepada individu tertentu.

Dan di sinilah satu perkara yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Haji Zamri Zainal Abidin, kepada pelatih Akademi Daie Muda YADIM baru-baru ini terasa relevan. Ia mungkin kelihatan jauh daripada isu Tabung Haji, tetapi sebenarnya tidak.

Beliau mengingatkan para pelatih supaya menguasai kemahiran pengurusan organisasi dan mengikis persepsi bahawa lepasan aliran agama tidak mempunyai keupayaan dalam bidang tersebut.

Jika kita mahu institusi umat diurus dengan lebih baik, kita perlu melahirkan lebih ramai manusia yang mampu menguruskannya. Ilmu agama penting. Begitu juga ilmu kewangan, pengurusan, undang-undang, teknologi, risiko dan kepimpinan.

Mungkin itu antara perkara yang patut kita fikirkan selepas RCI Tabung Haji.

Kita sedang membaiki institusi. Dalam masa yang sama, kita juga perlu menyediakan manusia yang mampu menjaga pembaikan itu.

Syor RCI perlu diselesaikan. Pembaharuan perlu diteruskan. Dan apa yang telah berubah perlu dipastikan kekal.

Selepas ini, perhatian wajar beralih daripada sekadar “berapa banyak syor telah dilaksanakan” kepada “sejauh mana pelaksanaan itu benar-benar mengubah institusi”. Kerana ukuran reformasi bukan pada jumlah tindakan yang telah diumumkan, tetapi pada perubahan yang dapat bertahan dan dirasai dalam cara institusi itu ditadbir.

Kerana pada akhirnya, kepercayaan tidak kembali kerana kita menjelaskan bahawa semuanya sudah diperbaiki.

Kepercayaan kembali apabila orang ramai melihat sendiri bahawa memang ada yang telah berubah.

Tahniah juga kepada pasukan di balik tabir yang berusaha keras memulihkan imej dan kepercayaan ramai kepada institusi milik umat Islam ini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *