Home » Langit Terbuka » Tabung Haji saran pendeposit aktifkan akaun

Tabung Haji saran pendeposit aktifkan akaun

KUALA LUMPUR 16 Mei –  Lembaga Tabung Haji (TH) merekodkan lebih 41,000 akaun pendeposit yang tidak melakukan sebarang transaksi lebih tujuh tahun.

Menurut kenyataan TH hari ini, akaun berkenaan akan dipindahkan ke kumpulan ‘Akaun Tidak Aktif’ bermula 3 Jun ini yang menyebabkannya tidak layak menerima sebarang hibah.

TH berkata pendeposit yang mempunyai akaun TH tidak aktif boleh mengaktifkannya semula dengan melakukan transaksi seperti masuk atau keluar wang serta mengemas kini maklumat seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris di mana-mana cawangan TH, Bank Islam dan Bank Rakyat di seluruh negara.

Pendeposit yang telah kehilangan buku akaun boleh pergi ke mana-mana cawangan TH dengan membawa kad pengenalan bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.

Sekiranya pendeposit telah meninggal dunia, waris masih boleh membuat permohonan untuk menuntut semula jumlah amaun yang diklasifikasikan sebagai Akaun Tidak Aktif tersebut dengan mengemukakan dokumen berkaitan.

Pengemaskinian akaun ini juga bertujuan untuk memudahkan TH menghubungi bakal haji serta mengelak kes surat tawaran haji tidak diterima kerana bertukar alamat, kata kenyataan itu. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *