Home » Ensiklopedia » Tabung Haji

Tabung Haji

Tabung Haji atau sebelum ini dikenali sebagai Lembaga Urusan Dan Tabung Haji ( LUTH ) adalah sebuah institusi yang  ditubuhkan bagi membolehkan umat Islam di Malaysia membuat tabungan untuk membiyai kos bagi mengerjakan ibadat haji di Makkah. Sebelum ini, umat Islam di Malaysia berusaha membeli harta seperti tanah, ternakan dan emas lalu dijual apabila mereka hendak pergi menunaikan fardu haji ke Makkah.

LUTH atau sekarang ini lebih dikenali sebagai Tabung Haji, diilhamkan penubuhannya oleh seorang cendekiawan dan pakar ekonomi iaitu Profesor Diraja Ungku Aziz, yang ketika itu bertugas di Universiti Malaya. Hasil daripada buah fikiran beliau membolehkan Tabung Haji ditubuhkan pada 30 September, 1963 dengan nama Perbadanan Wang simpanan Bakal- bakal Haji.

Pengurus Besarnya yang pertama ialah Datuk Hanafiah Hussain. Bermula dengan hanya 1,281 penyimpan dengan simpanan sebanyak RM46 600 pada tahun 1963, kini Tabung Haji boleh berbangga dengan jumlah penyimpan  seramai 4.5 juta orang dan jumlah simpanan yang terkumpul berjumlah RM10.23 bilion. Kini Tabung Haji menjadi simbol kejayaan ekonomi umat Islam yang menjadi contoh, ikutan dan kajian oleh Negara- Negara Islam lain.

Perkembangan Tabung Haji

Enam tahun selepas ditubuhkan iaitu pada tahun 1969, Perbadanan Wang Simpanan Bakal- bakal Haji telah digabungkan dengan Pejabat Kawalan haji yang berpusat di Pulau Pinang, lalu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji ( LUTH ).

Sejak itu, Tabung Haji telah mengambil alih tanggungjawab menguruskan perjalanan bakal haji di samping menyediakan pelbagai kemudahan dan keperluan mereka. Pada tahun 1995, sekali lagi Tabung Haji mengalami perubahan berikutan dengan pemansuhan akta yang selama ini menggerakkannya dan digantikan dengan Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Sehubungan dengan itu, nama Tabung Haji telah ditukar kepada Lembaga Tabung Haji. Tabung Haji telah membantu ekonomi umat Islam di Malaysia dengan membuka peluang- peluang pekerjaan yang banyak. Sejak penubuhannya hingga sekarang, Tabung Haji telah menyumbangkan bayaran zakat berjumlah RM152.9 juta untuk keperluan umat Islam di seluruh Negara.

Cemerlang di arena antarabangsa

Penubuhan Tabung Haji telah melancarkan urusan naik haji di kalangan umat Islam di Malaysia. Kejayaan ini diakui oleh Kerajaan Arab Saudi sendiri yang menggangap pengurusan pengendalian Jemaah haji oleh Malaysia melalui Tabung Haji adalah terbaik.

Sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan Malaysia itu, Kuala Lumpur telah dipilih oleh Arab Saudi sebagai tuan rumah bagi Persidangan Bimbingan Haji Kali Pertama, pada September, 2000. Kejayaan penganjuran persidangan tersebut merupakan kejayaan penting buat Tabung Haji kerana Tabung Haji telah dijadikan landasan kepada 120 delegasi termasuk 17 menteri daripada 40 buah Negara Islam untuk memperbaiki system pengurusan haji. Tabung Haji memperkenalkan konsep kaunter mesra dan terbuka bagi melayani pelanggannya di seluruh Negara.

Bangunan Tabung Haji di Kuala Lumpur telah meluaskan lagi bidang pelaburan dan perniagaan dengan menceburi bidang- bidang perniagaan seperti bioteknologi, elektronik, infrastruktur berteknologi tinggi selain bidang- bidang yang sedia diceburinya selama ini seperti perladangan, hartanah dan perkhidmatan.

Profesor Diraja Ungku Aziz

Dilahirkan pada 28 Januari, 1922 tokoh ekonomi dan pakar ekonomi ini merupakan tokoh yang mengilhamkan penubuhan Tabung Haji. Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk, “ Rancangan Membaiki Ekonomi  Bakal- bakal Haji “ kepada kerajaan pada awal tahun 1959. Selepas dikaji dan didebatkan secara panjang lebar di Parlimen, akhirnya pada 30 September, 1963, Tabung Haji telah diluluskan penubuhannya. Hasil daripada jasa dan sumbangan pemikirannya, beliau telah dianugerahkan Profesor Diraja oleh Yang di- Pertuan Agong (1987) dan Tokoh Maal Hijrah (1997). Tabung Haji ditubuhkan hasil daripada cetusan idea Profesor Diraja Ungku Aziz.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *